PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

19/10/2024 02:18 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Pasaran getah dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan meningkat, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata pasaran telah dipengaruhi ketidaktentuan dan keadaan di luar jangka seperti cuaca yang sentiasa berubah terutamanya hujan lebat tanpa henti.

“Justeru, fenomena sebegini menyebabkan harga dan permintaan menjadi tidak menentu dan apabila berlaku ketidaktentuan, harga cenderung untuk meningkat,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Low berkata fasa peralihan monsun yang akan datang di wilayah pengeluar getah akan menghalang produktiviti getah dan mungkin meningkatkan aktiviti stok.

"Dalam apa jua keadaan, dengan kekurangan bekalan, pasaran getah seiring dengan kekurangan permintaan juga kerana ekonomi China sedang bergelut dengan masalah yang dihadapinya,” katanya.

Seorang lagi peniaga berkata harga akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar US selain harga minyak mentah penanda aras dan bekalan getah asli yang terhad dalam persekitaran jangkaan penurunan kadar faedah AS lebih kecil.

Beliau berkata pengendali pasaran akan terus memantau perkembangan terbaharu mengenai ekonomi AS dan China terutamanya petunjuk mengenai penurunan kadar faedah, pelaksanaan rangsangan China, perkembangan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) dan konflik geopolitik di Timur Tengah.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 21 sen untuk menutup minggu ini pada 872.5 sen sekilogram berbanding 704.0 sen sebelumnya.

Susu getah pukal pula naik sembilan sen untuk menutup dagangan kepada 757 sen sekilogram daripada 748.5 sen sebelumnya.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal GMM 20 berada pada 871 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 757 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan