PASARAN > BERITA

Aktiviti Belian Sederhana Dorong Bursa Malaysia Kekal Meningkat Pada Tengah Hari

23/10/2024 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Dagangan di Bursa Malaysia terus meningkat pada tengah hari Rabu, disokong oleh minat belian sederhana terhadap saham-saham wajaran tinggi dan seiring prestasi pasaran serantau, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.33 mata atau 0.08 peratus kepada 1,643.87 daripada paras 1,642.54 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.67 mata kepada 1,644.21.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 464 berbanding 451 manakala 480 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,108 tidak diniagakan dan 15 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.02 bilion unit bernilai RM1.25 bilion. 

Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi semalaman Wall Street bercampur-campur susulan ketidaktentuan menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) serta musim pelaporan pendapatan korporat ketika ini.

Di samping itu, peningkatan hasil Perbendaharaan AS yang sering memaparkan dasar monetari lebih ketat, hanya mengurangkan lagi kemungkinan penurunan kadar faedah.

Di peringkat tempatan, firma pembrokeran itu menjangkakan pelabur berkemungkinan beralih kepada sektor berorientasikan eksport seperti sarung tangan dan teknologi.

“Selain itu, peningkatan semula harga minyak mentah dan minyak sawit mentah hanya akan menarik peniaga kepada sektor minyak dan gas serta perladangan.

“Kami juga melihat peluang dalam sektor pembinaan, hartanah serta tenaga boleh baharu dalam Belanjawan 2025,” katanya.

Saham wajaran tinggi seperti Maybank, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM10.62, RM14.46 dan RM7.23 manakala Public Bank meraih satu sen kepada RM4.56 dan CIMB Group menambah dua sen kepada RM8.18.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang dan Capital A naik setengah sen masing-masing kepada 5.5 sen dan 98 sen, MY E.G. Services meningkat 1.5 sen kepada 90 sen, Niche Capital Emas menambah satu sen kepada 18.5 sen namun Dataprep turun 1.5 sen kepada 15.5 sen.  

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 18.04 mata kepada 12,384.31, Indeks FBM 70 meraih 57.11 mata kepada 17,887.42, Indeks FBMT 100 menambah 18.04 mata kepada 12,089.63, dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 15.98 mata kepada 12,316.45.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE susut 2.87 mata kepada 5,099.04. 

Mengikut sektor pula, Indeks Tenaga meningkat 1.73 mata kepada 861.06 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 42.30 mata kepada 19,496.82.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian sebaliknya susut sebanyak 0.11 mata kepada 177.17 dan Indeks Perladangan turun 0.74 mata kepada 7,276.12. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan