PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

23/10/2024 10:14 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu, didorong oleh jangkaan pengeluaran dan paras stok yang lebih rendah di Malaysia dan Indonesia, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata sentimen pasaran disokong oleh kenaikan dalam niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,400 dan paras rintangan pada RM4,580," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarket Palm Oil Analytics, Sathia Varqa mengaitkan kenaikan harga itu hasil gabungan pertumbuhan eksport kukuh dan pengeluaran rendah.

Memetik tinjauan mengenai pengeluaran oleh UOB KayHian untuk 1 hingga 20 Oktober, beliau berkata pengeluaran di Sabah telah meningkat antara tujuh peratus dan 11 peratus manakala Sarawak dan Semenanjung Malaysia masing-masing mengalami penurunan tiga hingga tujuh peratus dan enam hingga 10 peratus.

Secara keseluruhan, beliau menganggarkan pengeluaran dalam tempoh ini telah menurun sebanyak satu hingga lima peratus, mengehadkan bekalan pasaran.

"Momentum kenaikan harga, digabungkan dengan pertumbuhan eksport kukuh, pengeluaran yang rendah dan kenaikan harga dalam minyak sayuran berkaitan telah cukup untuk mencetuskan pembelian dalam niaga hadapan MSM," katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2024 meningkat RM113 kepada RM4,563 satu tan, Disember 2024 naik RM103 kepada RM4,514 dan Januari 2025 menambah RM100 kepada RM4,486.

Kontrak Februari 2025 melonjak RM98 kepada RM4,443 setan, Mac 2025 melonjak RM93 kepada RM4,932 dan April 2025 menokok RM87 kepada RM4,337.

Jumlah dagangan naik kepada 102,234 lot daripada 75,113 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka menambah kepada 257,024 kontrak daripada 254,456 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan meningkat RM4,590 satu tan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan