Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, didorong oleh dasar ekonomi tempatan yang menggalakkan, sentimen positif daripada pendapatan saham teknologi yang kukuh dan prospek pasaran Amerika Syarikat (AS) yang memberangsangkan, kata penganalisis.
Selain itu, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dijangka menggalakkan perbelanjaan domestik dan pelaburan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 13.47 mata atau 0.83 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi harian sebanyak 1,634.17 berbanding 1,620.70 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 3.71 mata lebih tinggi kepada 1,624.41 dan seterusnya mencatat paras terendah 1,623.52 dalam dagangan awal sebelum meningkat menjelang sesi akhir dagangan.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 849 berbanding 352 manakala 428 kaunter tidak berubah, 765 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.39 bilion unit bernilai RM2.92 bilion berbanding 2.58 bilion unit bernilai RM2.47 bilion pada Selasa.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata sentimen positif di bursa tempatan turut dipacu oleh minat belian yang berterusan di seluruh sektor terutama dalam sektor teknologi.
“Momentum positif ini didorong oleh keputusan pendapatan Palantir Tech yang lebih kukuh berbanding jangkaan, menunjukkan pertumbuhan yang besar dalam pendapatan, didorong oleh kecerdasan buatan dan meningkatkan sentimen terhadap saham teknologi di pasaran tempatan,” katanya kepada Bernama.
Antara saham yang meneraju kenaikan hari ini dalam kalangan komponen FBM KLCI adalah saham berkaitan projek pusat data, terutama dalam sektor pembinaan, logam, dan utiliti," katanya.
Mohd Sedek berkata daya tahan ekonomi AS di samping pendirian akomodatif Rizab Persekutuan memberikan keyakinan berterusan kepada pelabur, menyokong kestabilan pasaran tanpa mengambil kira hasil politik di AS.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran terus memperlihatkan aliran menaik berikutan peningkatan sentimen pelabur meskipun prestasi pasaran serantau bercampur-campur.
Selain itu, langkah BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus memberikan situasi yang jelas terhadap landskap pasaran tempatan.
“Bagaimanapun kami mengekalkan pendekatan berhati-hati berikutan keputusan pilihan raya presiden AS yang mungkin mengubah senario geopolitik global,” katanya.
“Berdasarkan sentimen pasaran tempatan yang semakin baik, kami menyemak semula julat sasaran FBM KLCI mingguan kepada antara 1,610 dan 1,640,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat 30.0 sen kepada RM14.38, CIMB Group naik 8.0 sen kepada RM8.20, Maybank dan Public Bank masing-masing menambah 6.0 sen kepada RM10.60 dan RM4.49 manakala IHH Healthcare susut 5.0 sen kepada RM7.26.
Antara saham aktif, 3Ren yang baru disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 11.5 sen kepada 39.5 sen, Genetec Technology naik 26 sen kepada 95 sen, Top Glove meningkat 8.0 sen kepada RM1.16, MY EG Services naik 4.0 sen kepada 88.5 sen dan Cape EMS meningkat setengah sen kepada 36.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 153.58 mata kepada 12,380.82, Indeks FBMT 100 menokok 141.95 mata kepada 12,080.77, Indeks FBM Emas Syariah menambah 171.40 mata kepada 12,356.21, Indeks FBM 70 naik 368.73 mata kepada 18,105.49, dan Indeks FBM ACE menokok116.67 mata kepada 5,185.75.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 159.35 mata kepada 19,326.88, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 3.17 mata kepada 175.48.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 1.16 mata kepada 836.19 dan Indeks Perladangan rendah 0.49 mata kepada 7,611.94.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.85 bilion unit bernilai RM2.53 bilion daripada 1.34 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran naik kepada 796.39 juta unit bernilai RM117.51 juta berbanding 783.54 juta unit bernilai RM134.61 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 743.69 juta unit bernilai RM272.67 juta berbanding 463.49 juta unit bernilai RM171.97 juta semalam
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 246.84 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (391.74 juta), pembinaan (100.95 juta), teknologi (416.08 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.92 juta), hartanah (167.53 juta), perladangan (71.72 juta), REIT (17.28 juta), dana tertutup (17,600), tenaga (87.11 juta), penjagaan kesihatan (145.55 juta), telekomunikasi dan media (37.68 juta), pengangkutan dan logistik (41.22 juta), utiliti (59.06 juta) dan amanah perniagaan (3,100).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial