PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Selepas Meningkat Sebelum Ini

07/11/2024 07:23 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan penurunan untuk ditutup rendah hari ini, didorong oleh aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan selama empat hari dalam persekitaran prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya tinggi, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 10.89 mata atau 0.66 peratus kepada 1,623.28 daripada 1,634.17 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.97 mata kepada 1,636.14 dan turun naik antara 1,622.75 dan 1,639.55 sepanjang hari.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 641 berbanding 466 manakala 507 kaunter tidak berubah, 792 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.77 bilion unit bernilai RM3.41 bilion daripada 3.39 bilion unit bernilai RM2.92 bilion pada Rabu.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata walaupun FBM KLCI merosot hari ini, ia kekal tinggi berbanding minggu lepas berikutan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan yang didorong oleh optimisme susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya.

“Walaupun mencatatkan penurunan hari ini yang mungkin dilihat membimbangkan pada mulanya, ia dianggap terlalu awal berdasarkan momentum positif di pasaran serantau.

“Indeks Teknologi Bursa Malaysia menunjukkan daya tahan yang ketara, meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh dua bulan berikutan keyakinan pelabur yang semakin baik berikutan perkembangan positif dalam pilihan raya AS dan peningkatan dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan mengumumkan keputusan mengenai kadar faedahnya lewat hari ini.

“Kami menjangka (Pengerusi Rizab Persekutuan AS) Jerome Powell akan mengekalkan pendekatan bergantung kepada data, yang menekankan keperluan kepada kejelasan mengenai hala tuju dasar Trump,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beliau kekal positif terhadap pasaran tempatan walaupun terdapat aktiviti pengambilan untung berikutan asas ekonomi dan syarikat tempatan yang semakin baik.

“Prospek jangka panjang untuk FBM KLCI kekal positif walaupun dengan jualan hari ini. Sasaran indeks utama kekal pada 1,610–1,640,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.50. Maybank, CIMB Group dan Tenaga Nasional, masing-masing merosot 2.0 sen kepada RM10.58, RM8.18 dan RM14.36 manakala IHH Healthcare susut 1.0 sen kepada RM7.25.

Dalam kalangan saham aktif, 3Ren meningkat 6.5 sen kepada 46 sen, Inari Amertron naik 20 sen kepada RM3.19, Ekovest menambah 2.0 sen kepada 39 sen manakala Top Glove merosot 4.0 sen kepada RM1.12 dan Genetec Technology berkurangan 2.5 sen kepada 92.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 jatuh 127.18 mata kepada 17,978.30, Indeks FBM Emas merosot 81.29 mata kepada 12,299.53, Indeks FBMT 100 berkurangan 81.81 mata kepada 11,998.96, Indeks FBM Emas Shariah susut 101.91 mata kepada 12,254.30 dan Indeks FBM ACE turun 20.90 mata kepada 5,164.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 19.89 mata kepada 19,306.99, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 2.19 mata kepada 173.29, Indeks Tenaga berkurangan 8.21 mata kepada 827.98 dan Indeks Perladangan jatuh 32.01 mata kepada 7,579.93.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.87 bilion unit bernilai RM2.99 bilion daripada 1.85 bilion unit bernilai RM2.53 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.29 bilion unit bernilai RM187.07 juta daripada 796.39 juta unit bernilai RM117.51 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 601.38 juta unit bernilai RM232.39 juta daripada 743.69 juta unit bernilai RM272.67 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 277.64 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (283.96 juta), pembinaan (179.75 juta), teknologi (398.20 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (88.08 juta), hartanah (182.42 juta), perladangan (70.85 juta), REIT (30.40 juta), dana tertutup (18,500), tenaga (88.42 juta), penjagaan kesihatan (132.86 juta), telekomunikasi dan media (36.91 juta), pengangkutan dan logistik (25.67 juta), utiliti (81.95 juta) dan amanah perniagaan (131,600).

-- BERNAMA   

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan