PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Kekalkan Momentum Meningkat Pada Tengah Hari

12/11/2024 02:13 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia terus mengekalkan momentumnya dalam wilayah positif pada tengah hari Selasa, menyanggah prestasi penurunan di peringkat pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ) naik 2.06 mata kepada 1,611.32 daripada paras 1,609.26 pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu pasaran dibuka, indeks itu menokok 0.76 mata kepada 1,610.02.

Sentimen pasaran bagaimanapun adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 513 berbanding 346 manakala 497 lain tidak berubah, sebanyak 1,048 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.75 bilion saham bernilai RM1.09 bilion.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank berkata berbeza daripada kenaikan Wall Street pasca pilihan raya presiden dan seiring keyakinan terhadap kemenangan besar Donald Trump serta jangkaan dasar yang cenderung terhadap pertumbuhan dan perubahan dasar, pasaran Asia sebaliknya menyaksikan prestasi lebih rendah.

“Penurunan itu terutamanya didorong oleh data terkini Indeks Harga Pengguna (IHP) China lebih perlahan dan pelan fiskal yang kurang memberangsangkan, terutamanya susulan pentadbiran Trump 2.0 yang hanya menyuntik ketidakpastian baharu ke atas ekonomi China," katanya dalam nota tinjauannya hari ini.

Bank pelaburan itu berkata pada minggu ini, perhatian tertumpu kepada data IHP, indeks harga pengeluar (IHPR), jualan runcit dan ucapan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam usaha mencari petunjuk mengenai hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) susulan kembalinya Trump ke Rumah Putih.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Malayan Banking Bhd naik 12 sen kepada RM10.46, CIMB Group menambah lapan sen kepada RM8.24, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.44, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM14.10 dan RM7.20.

Bagi saham aktif, Mpire Global naik 1.5 sen kepada 21.5 sen, Azam Jaya meraih 11 sen kepada RM1.20 sen, Capital A menokok tiga sen kepada RM1.01, Cape EMS tidak berubah pada 37 sen manakala Velesto Energy turun setengah sen kepada 18 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meraih 21.80 mata kepada 12,201.68, Indeks FBMT 100 menambah 25.14 mata kepada 11,906.23, Indeks FBM 70 melonjak 74.04 mata kepada 17,823.27 dan Indeks FBM ACE menokok 3.98 mata kepada 5,130.61.20.62.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah turun 1.17 mata kepada 12,165.69.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.17 mata kepada 170.36, Indeks Tenaga berkurangan 4.88 mata kepada 827.93, Indeks Perladangan naik 82.60 mata kepada 7,845.48 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 128.17 mata kepada 19,189.95.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan