Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus menyaksikan dagangan kecil dengan kecenderungan meningkat pada minggu depan.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peniaga mengekalkan unjuran lebih berhati-hati dengan sokongan terhadap indeks petunjuk utama FBM KLCI pada paras 1,585 dan seterusnya pada 1,535.
“Kami tidak menjangkakan berlakunya peningkatan daripada paras itu...jika tidak, indeks akan terus dalam mod konsolidasi di sepanjang paras itu bagi tempoh singkat sementara menunggu pemangkin baharu.
“Oleh itu, kami mengunjurkan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,585-1,610 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, kontrak November 2024 susut tujuh mata kepada 1,587.5, Disember 2024 menguncup lapan mata kepada 1,591.0, Mac 2025 turun 4.5 mata kepada 1,583.0 manakala Jun 2025 berkurangan lima mata kepada 1,591.0.
Jumlah dagangan meningkat kepada 33,554 lot daripada 27,800 lot dalam minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 37,221 kontrak daripada 38,788 kontrak.
Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI turun sebanyak 2.66 mata kepada 1,589.78 daripada 1,592.44 pada minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial