PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Malaysia Ditutup Tinggi Susulan Pengukuhan Pasaran Minyak Serantau

26/12/2024 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Pasaran getah tempatan ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh seminggu susulan pengukuhan di pasaran getah serantau yang disokong oleh kenaikan harga minyak mentah.

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran juga didorong oleh pakej rangsangan baharu dari China di tengah-tengah kebimbangan bekalan terhad di negara pengeluar utama getah asli termasuk Malaysia dan Thailand berikutan cuaca hujan yang berterusan.

“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah dagangan yang suram berikutan musim cuti akhir tahun,” katanya kepada Bernama.

Peniaga itu berkata, pekebun getah di utara Thailand perlu bersedia dengan ancaman tanaman rosak bermula 26 hingga 27 Dis, manakala di bahagian selatan hujan lebat boleh mengakibatkan banjir kilat bermula 28 hingga 30 Dis.

Harga minyak terus meningkat pada Khamis selepas cuti Krismas mendapat sokongan daripada langkah rangsangan baharu di China dan penurunan inventori minyak mentah di AS.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.39 peratus kepada US$73.88 setong.

Mengikut Lembaga Getah Malaysia, harga SMR 20 melonjak 22.0 sen kepada 877.0 sen sekilogram manakala lateks pukal menyusut lima sen kepada 707.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga SMR 20 berada pada 871.00 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 703.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan