Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari dagangan pertama tahun ini susulan permintaan berterusan terhadap dolar AS susulan kebimbangan mengenai kemungkinan keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menurunkan kadar faedah pada 2025.
Pada 6 petang, ringgit merosot kepada 4.4760/4810 berbanding dolar AS 4.4690/4745 ketika ditutup pada Selasa.
Pasaran ditutup pada Rabu bersempena Tahun Baharu 2025.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, selain menjangkakan penurunan kadar yang lebih kecil oleh Fed, sentimen pasaran akan terus dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap potensi dasar ekonomi pentadbiran kedua Donald Trump.
Selain itu, beliau berkata, Indeks Dolar AS (DXY) juga naik 0.33 peratus kepada 108.487 mata apabila permintaan terhadap dolar AS terus kekal meningkat.
Ringgit ditutup kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8546/8580 daripada 2.8529/8566 ketika ditutup pada Selasa, tetapi mengukuh berbanding pound British kepada 5.5869/5932 daripada 5.6095/6164 sebelumnya dan berkembang berbanding euro kepada 4.6336/6387 daripada 4.6549/6606.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2859/2898 daripada 3.2824/2867 ketika ditutup pada Selasa dan berkurang berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.75 daripada 7.70/7.72.
Namun, ringgit mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.0530/0744 daripada 13.0566/0830 ketika ditutup pada Selasa dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 276.2/276.7 daripada 276.9/277.5 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial