Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengekalkan trajektori menaik minggu depan, disokong oleh prospek positif emas fizikal di London Bullion Market Association.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata walaupun terdapat jangkaan untuk hasil bon lebih tinggi dan dolar lebih kukuh di bawah bayang-bayang dasar Donald Trump, emas dijangka kekal sebagai aset yang dicari pada waktu ketidaktentuan dasar berterusan selain memastikan permintaan berterusan dalam landskap kewangan yang bergelora.
"Harga emas semerta melepasi paras tertentu baru-baru ini iaitu melebihi US$2,675 setiap auns troy mencetuskan sentimen teknikal yang optimis selain menunjukkan peralihan ke julat dagangan baharu antara US$2,660 dan US$2,710.
"Pergerakan melebihi US$2,700 setiap auns troy boleh merangsang permintaan lebih lanjut dan mendorong harga lebih tinggi.
"Prospek emas pada 2025 kekal positif, dipacu oleh permintaan yang kukuh daripada bank pusat dan ketidakpastian ekonomi berterusan selain terus menarik pelabur ke arah aset selamat tradisional ini," katanya kepada Bernama.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Januari 2025 ditutup lebih tinggi kepada US$2,692.70 setiap auns troy daripada US$2,667.80 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Sementara itu, kontrak Februari 2025 meningkat kepada US$2,703.10 setiap auns troy daripada US$2,678.90 setiap auns troy.
Kontrak Mac, April dan Jun 2025 kesemuanya ditutup lebih tinggi kepada US$2,707.30 setiap auns troy daripada US$2,687.30 setiap auns troy minggu lepas.
Jumlah dagangan berkembang kepada 83 lot daripada 41 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 56 kontrak daripada 44 kontrak.
Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 9 Jan, 2025, harga emas fizikal berada pada US$2,674.60 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial