PASARAN > BERITA

Ringgit Dijangka Diniagakan Sekitar 4.50 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

18/01/2025 10:29 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) --Ringgit dijangka diniagakan sekitar 4.50 berbanding dolar AS minggu depan ketika pasaran menunggu upacara mengangkat sumpah Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat yang baharu, pada 20 Jan, kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Kenanga IB berkata gelombang perintah eksekutif mungkin boleh meningkatkan ketidakpastian dasar, memastikan aset berisiko terkawal.

"Sementara itu, risiko geopolitik, termasuk gencatan senjata Israel-Hamas, tetap menjadi tumpuan," katanya.

Kenanga IB berpandangan dolar AS kekal kukuh seperti yang dijangkakan sepanjang minggu ini, mengekalkan ringgit dalam julat kecil 4.50 hingga 4.51.

"Indeks dolar AS melepasi sebentar paras 110.0 pada hari Isnin, didorong oleh senarai gaji bukan ladang yang lebih kukuh daripada jangkaan, tetapi susut kepada 109.0 berikutan Indeks Harga Pengeluar teras AS yang rendah," kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan pada hari Jumaat.

Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.5040/5085 daripada 4.4945/5000 seminggu lalu.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.4953/5008 daripada 5.5296/5364 pada akhir minggu dagangan minggu ini, susut berbanding yen Jepun kepada 2.8918/8949 daripada 2.8461/8497 dan susut berbanding euro kepada 4.6382/6429 daripada 4.6298/6355 sebelumnya.

Ringgit juga ditutup bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan jatuh berbanding baht Thailand kepada 13.0664/0856 daripada 12.9824/13.0043 pada Jumaat minggu lepas dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2948/2983 daripada 3.2843/2888 sebelumnya.

Bagaimanapun ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 274.9/275.3 daripada 277.5/278.0 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.68/7.69 daripada 7.70/7.71.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan