Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif melantun untuk ditutup lebih tinggi selepas menerima dorongan daripada keuntungan dalam minyak kacang soya dan keyakinan pasaran ke atas pembelian minyak sawit India yang diperbaharui bagi tujuan menambah simpanan.
"Kami melihat harga sokongan pada paras RM4,250 dengan rintangan pada RM4,450," katanya kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani menjelaskan India meneruskan pembelian minyak sawit selepas import negara itu berada pada tahap terendah tahunan menjelang Januari.
Di samping itu, urus niaga yang positif secara keseluruhan dalam niaga hadapan minyak sayuran Cina semasa waktu Asia menyumbang kepada kekuatan dalam MSM.
Anilkumar menjelaskan lagi penurunan dalam inventori minyak sawit adalah disebabkan oleh kejatuhan eksport serta penyusutan pengeluaran sebanyak dua angka.
Kebimbangan cuaca di Malaysia turut menjejaskan pasaran disebabkan hujan lebat telah mengganggu kutipan buah sawit. Di sesetengah kawasan, keadaan seperti banjir menghalang pengangkutan tandan buah segar dan minyak sawit.
"Bagaimanapun, tawaran minyak sawit Indonesia yang agak murah berikutan cukai eksport yang lebih rendah pada Februari adalah halangan utama sekarang ini bagi permintaan ke atas minyak sawit Malaysia,” katanya lagi.
Pada penutup, kontrak Februari 2025 meningkat sebanyak RM22 kepada RM4,613 satu tan, Mac 2025 menokok RM23 kepada RM4,439 dan April 2025 naik RM26 kepada RM4,334.
Mei 2025 pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM23 kepada RM4,250 satu tan, Jun 2025 menambah RM12 kepada RM4,180 dan Julai 2025 melonjak RM6 kepada RM4,129.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 74,758 lot berbanding 58,027 lot yang disaksikan semalam, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 221,110 kontrak daripada 220,432 sebelum ini.
Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan meningkat sebanyak RM10 kepada RM4,660 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial