KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Keuntungan Axiata, Tenaga Nasional dan Maybank membantu mengimbangi kerugian sebelum ini dalam indeks utama Bursa Malaysia, menyebabkan ia ditutup rendah sedikit susulan kebimbangan berterusan mengenai inflasi Amerika Syarikat (AS) dan ancaman tarif timbal balik Presiden Donald Trump.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 0.96 mata kepada 1,589.95 berbanding dengan 1,590.91 yang disaksikan semasa Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.26 mata rendah pada 1,587.65 dan bergerak antara 1,584.20 serta 1,590.49 sepanjang sesi urus niaga.
Secara meluas, pasaran kekal negatif, dengan kerugian mengatasi untung sebanyak 589 berbanding 366, manakala 503 kaunter tidak berubah, 872 tidak didagangkan dan 22 lagi, digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.0 bilion unit bernilai RM1.85 bilion daripada 2.93 bilion unit bernilai RM2.22 bilion pada Jumaat sebelumnya.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pelabur telah mengalihkan perhatian mereka kepada saham-saham yang lebih kecil, terutamanya dalam saham penjagaan kesihatan serta telekomunikasi, dan menyaksikan pengambilan untung dalam saham-saham teknologi.
Sentimen jangka pendek tetap berhati-hati, ianya akan terus dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, seperti perang perdagangan AS-China.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras akan berada dalam lingkungan 1,580-1,600, yang mewakili tahap sokongan dan rintangan utama," katanya, sambil menambah walaupun bersifat turun naik, keyakinan dalam sektor kecerdasan buatan (AI) China, yang mana firma seperti seperti DeepSeek terus mempamerkan kekuatan sehingga berjaya mengukuhkan keyakinan serantau, menyokong keuntungan di kebanyakan pasaran jiran.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelabulan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata walaupun Malaysia bukan pengeksport aluminium utama, tarif baharu AS sebanyak 25 peratus boleh membawa kesan tidak langsung, khususnya dalam sektor teknologi.
“Tarif yang lebih tinggi akan menjejaskan permintaan ke atas semikonduktor selain meningkatkan kos pengeluaran, memberi kesan kepada firma Malaysia berintegrasi dengan rantaian bekalan global,” katanya.
“Ini dicerminkan dalam pergerakan pasaran hari ini, yang mana Indeks Teknologi Bursa Malaysia menerajui kerugian, manakala saham-saham yang berkaitan dengan aluminium dalam FBM KLCI menunjukkan daya tahan," katanya lagi.
Selain logam, pelabur kini bersiap bagi kemungkinan tarif 'timbal balik', yang mungkin akan diumumkan lebih awal daripada jangkaan iaitu dalam minggu semasa.
Sementara itu dalam senario domestik, Jabatan Statistik Malaysia akan mendedahkan data ekonomi suku keempat 2024 pada Jumaat ini, bersama-sama dengan angka KDNK tahun penuh.
“Bagaimanapun, kami meramalkan para pelabur akan terus memberi tumpuan kepada langkah-langkah perdagangan Trump berbanding data ekonomi tempatan. Selagi belum ada kejelasan, pasaran akan terus tidak stabil,” katanya.
Axiata mendahului keuntungan di kalangan wajaran berat, memperoleh tujuh sen kepada RM2.28, diikuti oleh Tenaga Nasional, yang meningkat 10 sen kepada RM13.84, manakala Maybank serta Sime Darby menambah empat sen masing -masing kepada RM10.46 dan RM2.25.
Manakala, SD Guthrie turun 11 Sen kepada RM4.80, MISC kehilangan 15 sen kepada RM7.23 dan Gamuda adalah lapan sen lebih lemah pada RM4.48.
Di kalangan kaunter aktif, Borneo Oil serta TWL tidak berubah pada satu sen dan 2.5 sen, manakala penyenaraian baharu iaitu Colform Group naik sebanyak 3.0 sen kepada 39 sen, Capital A mencatatkan penurunan 6.5 sen kepada 84.5 sen dan Asia Poly menambah 2.0 sen kepada 14.5 Sen.
Di papan indeks, indeks FBM EMAS menumpahkan 25.52 mata kepada 12,124.01, Indeks FBMT 100 jatuh 22.95 mata kepada 11,817.11 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 51.58 mata kepada 11,934.06.
Indeks FBM ACE pula merosot sebanyak 29.56 mata kepada 5,230.79 dan Indeks FBM 70 adalah 97 mata lebih lemah kepada 17,936.53.
Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 25.67 mata kepada 19,259.11, manakala Indeks Tenaga merosot 1.07 mata kepada 825.37, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.40 mata kepada 166.11 dan Indeks Perladangan mencatatkan kerugian berjumlah 53.16 mata kepada 7,400.74.
Jumlah dagangan pasaran utama agak tinggi sedikit pada 1.38 bilion unit bernilai RM1.51 bilion daripada 1.37 bilion unit bernilai RM1.94 bilion yang disaksikan pada Jumaat lepas.
Jumlah waran menurun kepada 930.27 juta unit bernilai RM116.54 juta berbanding 1.03 bilion unit bernilai RM113. 20 juta sebelumnya.
Volum dalam Pasaran ACE bertambah kepada 688.14 juta unit bernilai RM222.62 juta daripada 527.66 juta unit bernilai RM163.86 juta.
Kaunter Produk dan Perkhidmatan Pengguna menyumbang 196.40 juta dalam saham yang didagangkan di pasaran utama, Produk dan Perkhidmatan Perindustrian (452.39 juta), Pembinaan (72.73 juta), Teknologi (130.33 juta), SPAC (sifar), Perkhidmatan Kewangan (54.26 juta), Hartanah (208.66 juta), Perladangan (14.13 juta), REIT (8.25 juta), Dana Tertutup (Sifar), Tenaga (124.53 juta), Penjagaan Kesihatan (42.46 juta), Telekomunikasi dan Media (20.92 juta), Pengangkutan dan Logistik (7.84 juta), Utiliti (51.05 juta) serta Amanah Perniagaan (75,800).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial