Oleh Nurul Jannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila para pelabur beralih kepada aset selamat ketika tumpuan terarah kepada pertemuan antara diplomat Amerika Syarikat (AS) dan Rusia di Arab Saudi untuk membincangkan kemungkinan menamatkan perang di Ukraine.
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.4440/4480 berbanding dolar AS daripada 4.4300/4360 pada Isnin.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang negara sedang pesat membangun lain juga lemah berbanding dolar AS, dengan Indeks Dolar AS (DXY) mengukuh hari ini, bergerak ke arah 106.89 mata.
“Geopolitik menjadi tumpuan utama. Selain itu, terdapat perbincangan tentang kemungkinan Kesatuan Eropah meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya.
“Situasi global sangat tidak menentu dan belum dapat dipastikan lagi sama ada ini mungkin menjejaskan dasar monetari global dan pasaran pertukaran asing,” katanya kepada Bernama.
Justeru, katanya, permintaan terhadap dolar AS dijangka meningkat kerana para peniaga dan pelabur cenderung mencari perlindungan menerusi mata wang selamat itu.
Selain itu beliau berkata pelabur akan memantau rapat minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS yang dikeluarkan pada akhir minggu ini untuk mendapatkan petunjuk mengenai prospek kadar faedah.
“Oleh itu, ringgit dijangka kekal lemah dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Sementara itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.6511/6553 daripada paras penutup 4.6413/6476 pada Isnin, turun berbanding pound Britain kepada 5.6030/6080 daripada 5.5765/5840 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 2.9272/9302 daripada 2.9179/9221 sebelumnya.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.3115/3150 daripada 3.3025/3072, susut berbanding baht Thai kepada 13.1881/2067 daripada 13.1349/1593, tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 272.9/273.3 daripada 272.9/273.4 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.64 daripada 7.63/7.65 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial