PASARAN > BERITA

Ringgit Teruskan Aliran Mengukuh Didorong Perang Dagangan AS-China Yang Mereda

24/02/2025 07:34 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Ringgit meneruskan aliran pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Isnin, dipacu oleh ketegangan dagangan AS-China mereda serta kelemahan data ekonomi Washington yang menekan dolar.

Menjelang jam 6 petang, ringgit naik ke paras 4.4080/4110 daripada 4.4165/4200 yang dicatat pada akhir urus niaga Jumaat lepas.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata aliran pengukuhan ringgit yang berterusan itu menyanggah aliran selepas Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan baharu untuk jawatankuasa penting kerajaan AS mengetatkan pelaburan China dalam sektor penting seperti teknologi dan tenaga.

“Itu sudah cukup bagi memacu dolar AS, sekali gus mengehadkan keuntungan awal ringgit. Walaupun ringgit mengukuh pada akhir sesi, masih terdapat kebimbangan mengenai perkembangan perdagangan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit meningkat berbanding dolar AS dalam urus niaga hari ini, malah sempat mencecah paras RM4.3925 pada sesi tengah hari sebelum berada pada RM4.4060.

Setakat petang ini, katanya, ringgit juga dilihat menarik berbanding dolar AS.

“Namun, keadaan masih terlalu awal kerana dasar-dasar pentadbiran Trump juga belum muktamad,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama global.

Ia bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 2.9471/9495 daripada 2.9346/9371 namun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5704/5742 daripada 5.5851/5895 dan naik berbanding euro kepada 4.6156/6188 daripada 4.6236/6273. 

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan bercampur-campur, termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2950/2975 daripada 3.3021/3049 dan rendah berbanding baht Thailand pada 13.1508/1672 daripada 13.1354/1528.  

Ringgit juga hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 270.7/271.1 daripada 270.7/271.0 dan mendatar berbanding peso Filipina pada 7.62/7.63. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan