PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dijangka Alami Dagangan Berhati-hati, Catat Julat Kecil Minggu Depan

01/03/2025 10:09 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka kekal mengalami dagangan secara berhati-hati minggu hadapan, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mungkin mencatatkan julat kecil apabila pelabur menilai perkembangan ekonomi utama, menurut penganalisis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata paras rintangan 1,590 akan menjadi ambang penting bagi pergerakan bursa, memandangkan peningkatan melepasi paras ini boleh menandakan wujudnya minat belian baharu.

Sekiranya pergerakan tidak dapat melepasi paras itu, pasaran dijangka terus berada dalam fasa tidak banyak berubah, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata data ekonomi yang dikeluarkan sama ada di peringkat domestik atau global akan berperanan penting dalam membentuk keyakinan pelabur serta menentukan hala tuju pasaran.

“Di Malaysia, tumpuan akan diberikan kepada data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Pembuatan Malaysia oleh S&P Global bagi Februari 2025, yang dijadualkan pada Isnin.

“Hal ini akan dipantau rapat kerana data ini adalah petunjuk utama prospek ekonomi Malaysia dalam jangka masa terdekat, terutama dalam keadaan ketidaktentuan global yang berterusan,” katanya.

Mohd Sedek berkata di peringkat antarabangsa, mesyuarat Dua Sesi China, yang bermula pada 5 Mac, akan menjadi tumpuan utama pasaran global.

Beliau berkata data ekonomi utama, termasuk IPP rasmi China pada Sabtu, IPP Caixin (3 Mac), dan data perdagangan (7 Mac), akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai trajektori ekonomi negara itu.

“Dinamik pasaran juga dijangka berubah, dengan fokus pelabur secara beransur-ansur beralih daripada sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI) kepada sektor hartanah, perindustrian, dan bahan mentah,” katanya.

Selain itu, pelabur juga akan memantau data senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat depan, kerana data yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh meningkatkan kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin mengekalkan kadar faedah tinggi untuk tempoh yang lebih lama.

“Perkembangan sedemikian boleh memberi kesan lebih luas terhadap sentimen pelabur global, yang berpotensi membawa kesan limpahan kepada pasaran kewangan Malaysia,” katanya.

Sepanjang minggu dagangan yang baru berakhir, FBM KLCI kebanyakannya mengalami penurunan, dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap dasar tarif AS yang dijadualkan berkuat kuasa pada 4 April.

Keadaan itu sekali gus menaikkan kebimbangan pelabur mengenai kesannya ke atas ekonomi, inflasi, rantaian bekalan, serta rancangan pelaburan global.

Pada Khamis, Presiden AS Donald Trump mengesahkan tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada, serta tambahan tarif 10 peratus ke atas China, akan mula berkuat kuasa pada 4 Mac.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks utama susut 16.33 mata kepada 1,574.70 daripada 1,591.03 pada minggu lepas.

Indeks FBM Emas susut 370.29 mata kepada 11,736.32, Indeks FBMT 100 berkurangan 317.38 mata kepada 11,496.57, Indeks FBM Emas Shariah merosot 435.72 mata kepada 11,411.79, Indeks FBM 70 jatuh 1,234.60 mata kepada 16,636.63, dan Indeks FBM ACE menguncup 377.79 mata kepada 4,756.99.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 5.64 mata kepada 158.35, Indeks Tenaga turun 44.41 mata kepada 754.14, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 15.69 mata kepada 19,326.95.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan meningkat 154.78 mata kepada 7,609.70.

Dari segi jumlah dagangan, jumlah dagangan keseluruhan sebanyak 15.94 bilion unit bernilai RM16.35 bilion berbanding 16.17 bilion unit bernilai RM12.32 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 9.44 bilion unit bernilai RM15.14 bilion daripada 7.89 bilion unit bernilai RM10.90 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran susut kepada 4.46 bilion unit bernilai RM527.65 juta daripada 5.31 bilion unit bernilai RM525.79 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula mencecah 2.02 bilion unit bernilai RM684.24 juta berbanding 2.95 bilion unit bernilai RM964.11 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan