Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan lebih tinggi namun susut kemudiannya, menjejaki prestasi semalaman Wall Street ketika pengeluar automotif Amerika Syarikat (AS) mendapat pengecualian tarif untuk sementara waktu.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.36 mata kepada 1,568.78 daripada 1,564.42 pada akhir dagangan semalam.
Bagaimanapun, ia kemudiannya susut 6.91 mata kepada 1,557.51 selepas lebih sejam dagangan dijalankan berbanding penutupan semalam pada 1,564.42.
Sewaktu dibuka, indeks penanda aras itu menokok 4.53 mata pada 1,568.95.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 317 berbanding 309 manakala 363 kaunter tidak berubah, 1,353 tidak didagangkan dan tujuh lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 192.60 juta saham bernilai RM95.55 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata berkata tindakan AS memberi penangguhan tarif selama sebulan untuk pengeluar automotif telah mencetuskan jangkaan kemungkinan tindakan sama turut diperluaskan kepada industri lain.
“Namun, ketidaktentuan kekal ketara susulan jangkaan potensi tekanan inflasi yang menyebabkan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat pada 4.28 peratus," katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, pasaran Indeks Hang Seng Hong Kong melantun semula menghampiri paras 23,600 yang didahului oleh kaunter CK Hutchison Holdings susulan cadangan pelupusan aset bernilai US$23 bilion berhampiran Terusan Panama.
Thong berkata Perdana Menteri China Li Qiang pula ketika perasmian Kongres Rakyat Kebangsaan merujuk kepada pertumbuhan lima peratus lagi untuk keluaran dalam negara kasar China pada tahun ini selain peningkatan perbelanjaan fiskal.
Di peringkat tempatan, beliau menjangkakan kerjasama dengan Arm Holdings Plc untuk melonjakkan sektor teknologi Malaysia dalam rantaian nilai, mampu menjadi pemangkin kepada sektor ini selain memberi manfaat kepada pemain sedia ada dengan ketara.
"Berdasarkan prestasi serantau yang positif, kami percaya kemasukan semula dana asing mungkin telah bermula, sekali gus membolehkan pergerakan indeks dalam julat 1,565-1,575 hari ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI dijangka diniagakan lebih tinggi berikutan kenaikan semalaman Wall Street selepas AS bersetuju menangguhkan tarif automotif yang baru dikenakan ke atas Mexico dan Kanada.
"Selain itu, mesyuarat tahunan China telah menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi kira-kira lima peratus bagi 2025 biarpun wujud kebimbangan mengenai potensi impak negatif perang perdagangan yang kian meruncing dengan AS. Perkembangan itu sekurang-kurangnya pada masa ini, telah meningkatkan keyakinan pelabur," katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan IHH Healthcare meraih 4.0 sen kepada RM7.41, Public Bank susut 3.0 sen kepada RM4.600, CIMB turun 17.0 sen kepada RM7.63, Tenaga Nasional rugi 14.0 sen kepada RM13.68 manakala Maybank tidak berubah pada RM10.58.
Bagi saham aktif, G3 Global dan Dagang NeXchange masing-masing naik setengah sen kepada 1.5 sen dan 26.5 sen, My E.G. Services menokok 3.0 sen kepada 94.0 sen manakala NexG dan SFP Tech Holdings susut seengah sen masing-masing pada 25.5 sen dan 28.0 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 39.17 mata kepada 11,574.82, Indeks FBMT 100 susut 40.06 mata kepada 11,357.22, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 13.59 mata kepada 11,232.12, Indeks FBM 70 menguncup 16.52 mata kepada 16,379.53 dan Indeks FBM ACE kehilangan 34.08 mata kepada 4,552.20.
Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.09 mata kepada 155.37, Indeks Tenaga susut 4.32 mata kepada 723.34, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 137.24 mata kepada 19,165.71 namun Indeks Perladangan pulih 32.83 mata kepada 7,542.30.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial