Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup rendah hari ini berikutan kadar eksport yang lebih lemah, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata paras saham yang lebih tinggi daripada jangkaan di negara ini dan harga minyak kacang soya yang lemah turut menyumbang kepada penurunan harga.
"Kami melihat harga disokong pada paras RM4,450 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,700 setiap tan," kata Ng kepada Bernama.
Terdahulu hari ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan eksport minyak sawit Malaysia pada Februari 2025 susut sebanyak 16.27 peratus kepada satu juta tan daripada 1.19 juta tan pada Januari 2025.
Dalam laporan prestasi industri Februari 2025, MPOB berkata pengeluaran MSM bagi bulan itu turun sebanyak 4.16 peratus atau sebanyak 51,516 tan kepada 1.18 juta tan daripada 1.23 juta tan pada bulan sebelumnya.
Dari segi stok simpanan, MPOB berkata stok MSM meningkat sebanyak 4.66 peratus kepada 826,248 tan pada Februari daripada 789,435 tan pada Januari.
Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2025 susut RM94 kepada RM4,776 setiap tan, April 2025 berkurang RM108 kepada RM4,616 setiap tan dan Mei 2025 merosot RM126 kepada RM4,499 setiap tan.
Sementara itu, kontrak Jun 2025 menguncup RM124 kepada RM4,382, Julai 2025 turun RM111 kepada RM4,278 dan Ogos 2025 menyusut RM94 kepada RM4,215 setiap tan.
Jumlah dagangan pula merosot kepada 95,316 lot daripada 131,478 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 244,496 kontrak daripada 242,153 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan menurun RM50 kepada RM4,850 setiap tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial