PASARAN > BERITA

Potensi Ekonomi AS Meleset, Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari

12/03/2025 02:15 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari Rabu susulan tekanan jualan bagi saham perkhidmatan kewangan dan perladangan terpilih, di tengah-tengah ekuiti Amerika Syarikat (AS) terus berdepan ketidaktentuan berikutan kemungkinan berlakunya kemelesetan di negara maju itu.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 28.42 mata atau 1.87 peratus kepada 1,491.73 daripada 1,520.15.  

Indeks petunjuk utama itu yang dibuka susut 15.44 mata kepada 1,504.71, juga turun naik dalam julat 1,490.76 hingga 1,505.33 dalam sesi dagangan pagi ini.

Sentimen pasaran lemah dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 558 berbanding 269 manakala 413 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,149 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.60 bilion saham bernilai RM1.21 bilion.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ekuiti AS jatuh dan memasuki wilayah negatif di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang meruncing selepas Presiden Donald Trump mengumumkan tarif 50 peratus ke atas import keluli dan aluminium Kanada.

Pasaran bon negara memberi reaksi dengan peningkatan kecil hasil Perbendaharaan 10 tahun AS pada 4.28 peratus dan hasil dua tahun di paras terendah sejak Oktober 2024 manakala pihak Rizab Persekutuan AS dijangka melaksanakan dua hingga tiga kali penurunan kadar faedah.

“Ekuiti global turut mendapat tempiasnya apabila pasaran Jepun diasak tekanan berikutan ketidakpastian mengenai potensi tarif AS ke atas kereta manakala bursa Eropah merosot dengan kerugian terutamanya dalam sektor pelancongan, riadah dan penjagaan kesihatan,” katanya kepada Bernama.  

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Sime Darby susut dua sen masing-masing kepada RM10.22 dan RM2.06, Public Bank turun lima sen kepada RM4.36 dan Tenaga Nasional rugi 18 sen kepada RM13.22.

MISC dan Petronas Chemicals naik satu sen masing-masing kepada RM6.96 dan RM3.63 manakala Press Metal mendatar pada RM4.91.

Bagi saham aktif, Sapura Energy dan warannya menokok setengah sen masing-masing pada empat sen dan satu sen, Nationgate meraih lima sen kepada RM1.20, SFP Tech susut 1.5 sen kepada 24.5 sen manakala Bina Puri mendatar pada 33 sen.

Di papan indeks pula Indeks merosot 163.90 mata kepada 11,103.98, Indeks FBM 70 berkurangan 82.83 mata kepada 15,762.56, Indeks FBM Emas Shariah turun 98.62 mata kepada 10,775.39, Indeks FBM ACE menguncup 31.64 mata kepada 4,408.49 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 167.55 mata kepada 10,891.32.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 70.66 mata kepada 7,270.57, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 467.48 mata kepada 18,301.80, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut satu mata kepada 149.90 manakala Indeks Tenaga menguncup 9.83 mata kepada 685.28.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan