PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Mengukuh Selepas Dolar AS Diasak Penurunan Indeks DXY

26/05/2025 07:06 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Ringgit meneruskan aliran peningkatannya sehingga akhir urus niaga Isnin berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang diasak penurunan Indeks Dolar (DXY) susulan perubahan mendadak dasar dagangan dan peningkatan kebimbangan berkaitan dasar fiskal negara maju itu.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2155/2220 berbanding dolar AS daripada paras 4.2285/2345 pada Jumaat lepas.

Selain itu, keputusan Presiden Donald Trump untuk menangguhkan rancangan mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan Kesatuan Eropah (EU) kepada 9 Julai ini, memberi lebih banyak masa kepada kedua-dua pihak untuk mencapai persetujuan bersama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebimbangan mengenai ekonomi AS terus ketara ketika hasil Bon Perbendaharaan AS yang lebih tinggi berkemungkinan besar memberi kesan ke atas ekonomi negara maju itu.

“Perkara lain yang menjadi tumpuan adalah sama ada rang undang-undang ‘One Big Beautiful’ yang dilihat sebagai hasil daripada defisit fiskal lebih meluas, akan diluluskan oleh Dewan Senat AS.

“Buat masa ini, persepsi terhadap kedudukan fiskal AS adalah agak negatif sepertimana dipaparkan menerusi kenaikan hasil Perbendaharaan dan prospek terhadap dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali mengukuh berbanding euro kepada 4.7972/8046 daripada 4.7985/8053.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.7175/7263 daripada 5.7072/7153 dan turun sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9506/9553 daripada 2.9502/9546.

Unit tempatan itu bagaimanapun mencatat prestasi lebih meningkat berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2826/2879 daripada 3.2891/2940 sebelum ini, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9231/9466 daripada 12.9744/13.0012 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.62 daripada 7.65/7.66.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit meningkat kepada 259.4/259.9 daripada 260.7/261.1.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan