Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Ringgit pulih dan ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini, disokong oleh sentimen risiko yang lebih baik terhadap mata wang tempatan itu meskipun ketidaktentuan global masih berterusan.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu naik kepada 4.2215/2275 berbanding dolar AS 4.2345/2430 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS kini menunjukkan penyusutan walaupun data ekonomi Amerika Syarikat kekal kukuh dan terdapat perubahan dasar perdagangan berkaitan tarif baru-baru ini.
“Pada masa yang sama, keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur, dipacu oleh strategi konsolidasi fiskal yang pragmatik dan menyokong prospek yang berhati-hati namun optimistik.
“Kerajaan kekal berhemah dalam melaksanakan pembaharuan fiskal, dengan sasaran mengurangkan defisit bajet kepada sekitar tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mengekalkan had statutori hutang pada 65 peratus daripada KDNK dalam jangka sederhana,” katanya kepada Bernama.
Afzanizam turut memaklumkan bahawa data ekonomi AS menunjukkan petanda positif apabila Indeks Keyakinan Pengguna Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 98.0 mata pada Mei berbanding 85.7 mata pada April.
“Penangguhan tarif AS terhadap Kesatuan Eropah (EU) sehingga 9 Julai juga memberi gambaran bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump bersikap terbuka untuk berunding bagi mencapai syarat yang lebih baik,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9271/9315 daripada 2.9425/9486 ketika ditutup pada Selasa, naik berbanding euro kepada 4.7838/7906 daripada 4.8053/8150 semalam dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.7028/7109 daripada 5.7352/7467 sebelum itu.
Mata wang tempatan itu juga diniagakan tinggi berbanding rakan ASEAN lain.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2776/2825 daripada 3.2894/2963 pada Selasa dan naik berbanding baht Thai kepada 2.9355/9614 daripada 12.9365/9676 semalam.
Ringgit juga naik berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.62 daripada 7.62/7.64 ketika ditutup semalam dan menokok daripada rupiah Indonesia kepada 259.0/259.5 daripada 259.9/260.6 sebelum itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial