PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Disokong Belian Saham Wajaran Tinggi Terpilih

09/06/2025 07:15 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) --Bursa Malaysia mengakhiri dagangan dengan ditutup tinggi hari ini disokong oleh pembelian saham wajaran tinggi terpilih ketika peserta pasaran menunggu keputusan perbincangan peringkat tinggi antara Amerika Syarikat (AS)-China.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.62 mata, atau 0.17 peratus, kepada 1,519.41 daripada paras penutup 1,516.79 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 1.27 mata kepada 1,518.06, dan kemudiannya turun naik dalam jajajaran 1,518.03 dan 1,521.64 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 535 berbanding 400, manakala 484 kaunter tidak berubah, 941 tidak diniagakan dan 20 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.61 bilion unit bernilai RM1.84 bilion daripada 1.92 bilion unit bernilai RM1.66 bilion pada Jumaat lepas.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata di pasaran tempatan pelabur membeli saham wajaran tinggi terpilih, terutamanya perkhidmatan kewangan, pembinaan dan saham berkaitan teknologi, pada paras harga semasa yang dianggap agak murah.

“Petunjuk teknikal membayangkan FBM KLCI stabil dalam jajaran kecil sehingga pemangkin baharu muncul.

"Kami menjangkakan indeks didagangkan antara paras 1,500 dan 1,530 bagi minggu ini, mewakili tparas sokongan dan paras rintangannya," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai pasaran serantau, Thong berkata FBM KLCI bergerak seiring dengan prestasi kukuh bursa serantau, yang kebanyakannya ditutup lebih tinggi berikutan keyakinan terhadap rundingan perdagangan akan datang antara Washington dan Beijing.

“Kaunter teknologi merupakan saham yang mencatatkan prestasi cemerlang, mendapat rangsangan daripada kenaikan kukuh firma Internet di China dan saham semikonduktor Korea Selatan,” katanya.

Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kemajuan dalam rundingan perdagangan yang kompleks, seperti diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump, telah meningkatkan lagi sentimen pasaran.

"Peserta pasaran akan memantau rapat hasil daripada perbincangan peringkat tinggi ini, kerana sebarang kejayaan boleh mempengaruhi sentimen risiko dan aliran perdagangan global pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Kementerian Luar China mengesahkan bahawa Naib Perdana Menteri He Lifeng akan melawat United Kingdom dari 8-13 Jun dengan rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS dijadualkan berlangsung semasa lawatan beliau.

Mohd Sedek berkata kenaikan di bursa tempatan hari ini diteraju oleh saham dalam sektor pertanian, minyak dan gas serta perbankan, manakala kaunter berkaitan pengguna mencatatkan penurunan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals menokok 10 sen kepada RM3.35, QL Resources melonjak 16 sen kepada RM4.53, CIMB naik lima sen kepada RM6.89, Tenaga Nasional meningkat lapan sen kepada RM14.28, manakala Maybank susut dua sen kepada RM9.68.

Kaunter untung utama diterajui Dutch Lady, yang menokok 74 sen kepada RM29.70, diikuti Malaysian Pacific Industries naik 70 sen kepada RM20.90, Ayer Holdings meningkat 36 sen kepada RM7.60, manakala Pentamaster melonjak 20 sen kepada RM2.80.

Dalam kalangan saham paling cergas, MYEG tidak berubah pada 94.5 sen, MPire Global naik dua sen kepada 11 sen, Hartanah Kenyalang yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE susut 1.5 sen kepada 14.5 sen manakala Tanco turun empat sen kepada 99 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 37.85 mata kepada 11,393.19, Indeks FBMT 100 meningkat 34.77 mata kepada 11,158.47, Indeks FBM Emas Shariah menambah 34.82 mata kepada 11,364.04, Indeks FBM 70 melonjak 112.74 mata kepada 16,409.31, manakala Indeks FBM ACE susut 7.19 mata kepada 4,512.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 23.88 mata kepada 17,732.20, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.54 mata kepada 152.34, Indeks Tenaga menokok 2.41 mata kepada 720.86 dan Indeks Perladangan susut 4.02 mata kepada 7,248.83.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.23 bilion unit bernilai RM1.61 bilion daripada 964.07 juta unit bernilai RM1.46 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.09 bilion unit bernilai RM134.4 juta daripada 706.23 juta unit bernilai RM98.53 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 280.34 juta saham bernilai RM94.6 juta daripada 249.20 juta saham bernilai RM105.00 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 262.34 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (218.36 juta), pembinaan (120.36 juta), teknologi (184.74 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.95 juta), hartanah (151.95 juta), perladangan (12.57 juta), REIT (22.65 juta), dana tertutup (6,000), tenaga (73.91 juta), penjagaan kesihatan (36.19 juta), telekomunikasi dan media (42.27 juta), pengangkutan dan logistik (19.32 juta), utiliti (29.55 juta) dan amanah perniagaan (130,400).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan