Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Ringgit meningkat semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ekoran dolar AS mengalami prestasi hambar, dengan Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.1 peratus kepada 99.0 mata, walaupun wujud keyakinan baharu terhadap kemungkinan hasil positif daripada rundingan perdagangan AS-China.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2345/2370 berbanding dolar AS daripada 4.2360/2420 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan terus diniagakan dalam jajaran kecil, bergerak antara 4.2322 dengan 4.2418.
“Keyakinan baharu terhadap rundingan perdagangan itu tidak dapat dikekalkan berikutan kekurangan maklumat sekali gus menyebabkan timbul semula ketidaktentuan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 2.7 peratus pada April, manakala pertumbuhan industri berorientasi eksport dalam sektor pembuatan terus meningkat kepada 6.4 peratus, khususnya dalam elektrik dan elektronik.
Aktiviti penghantaran dalam kalangan rakan dagang, terutamanya dari AS, mungkin menjadi faktor yang mendorong pertumbuhan tinggi dalam aktiviti pembuatan itu, katanya.
“Secara keseluruhan, para peniaga dan pelabur masih berhati-hati terhadap isu tarif dan kemungkinan kesannya kepada ekonomi,” katanya.
Pada akhir dagangan, ringgit ditutup rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9187/9207 daripada 2.9270/9314 ketika ditutup semalam, namun susut berbanding pound British kepada 5.7166/7200 daripada 5.7152/7233.
Ringgit juga turun berbanding euro kepada 4.8426/8454 daripada 4.8354/8422.
Ringgit juga diniagakan tidak menentu berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2925/2947 daripada 3.2932/2981 semalam, dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.57/7.59 daripada 7.58/7.60.
Bagaimanapun, ringgit turun berbanding baht Thai kepada 12.9729/9870 daripada 12.9712/9955 semalam, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 260.4/260.6 daripada 260.2/260.7.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial