KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah tengah hari ini seiring dengan kebanyakan pasaran serantau berikutan peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam konflik Israel-Iran yang meningkat, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.06 mata atau 0.26 peratus kepada 1,514.05 daripada 1,518.11 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka rendah 0.24 mata kepada 1,517.87, bergerak antara 1,512.26 dan 1,517.87 sepanjang sesi pagi.
Pasaran secara menyeluruh juga negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 711 berbanding 191 manakala 364 kaunter tidak berubah, 1,149 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.88 bilion unit bernilai RM921.99 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan memulakan minggu ini dengan sentimen lebih berhati-hati dan pelabur mengambil pendekatan menghindari risiko.
Berdasarkan lonjakan harga minyak mentah Brent dan emas, katanya peluang dagangan wujud dalam kalangan syarikat berkaitan minyak dan gas serta emas berikutan komoditi ini kini diniagakan dalam persekitaran harga yang tinggi.
“Pelabur mungkin akan terus memberi tumpuan kepada sektor defensif seperti utiliti dan amanah pelaburan hartanah (REIT), dengan Gas Malaysia dan Sunway REIT menjadi pilihan utama kami,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dari aspek teknikal, ia menjangka paras halangan untuk indeks petunjuk pasaran berada pada 1,533 hingga 1,538 manakala paras sokongan pada 1,498 hingga 1,503.
Daripada saham wajaran tinggi, Nestle merosot RM2.10 kepada RM71.72, 99 Speed Mart Retail Holdings berkurangan 5.0 sen kepada RM2.11, YTL Corp susut 4.0 sen kepada RM2.13, Hong Leong Financial Group menurun 30 sen kepada RM16.06, Sime Darby merosot 3.0 sen kepada RM1.65 dan CIMB Group Holdings berkurangan 9.0 sen kepada RM6.73.
Dalam kalangan saham aktif, MYEG berkurangan 2.5 sen kepada 93 sen manakala Thrive Property Group, NexG, Velesto Energy dan Bumi Armada, masing-masing menambah setengah sen kepada 1.5 sen, 35.5 sen, 19 sen dan 49.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 50.59 mata kepada 11,319.61, Indeks FBMT 100 jatuh 44.67 mata kepada 11,099.37 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 21.37 mata kepada 11,308.16.
Indeks FBM 70 merosot 124.27 mata kepada 16,244.44 dan Indeks FBM ACE berkurangan 74.14 mata kepada 4,413.05.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 63.37 mata kepada 7,284.29 dan Indeks Tenaga meningkat 12.33 mata kepada 753.09.
Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 146.47 mata kepada 17,501.78 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.65 mata kepada 150.70.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial