PASARAN > BERITA

Ringgit Teruskan Momentum Mengukuh Ketika Trump Perhebat Tekanan Ke Atas Fed

26/06/2025 07:46 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Ringgit meneruskan aliran pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari ini ketika Presiden Donald Trump terus meningkatkan tekanan ke atas Rizab Persekutuan (Fed) untuk menurunkan kadar faedah.

Lebih menghangatkan lagi keadaan, Trump dilaporkan mempertimbang untuk melantik pengerusi baharu Fed lebih awal - langkah yang dilihat memperlekeh pengerusi sekarang, Jerome Powell yang enggan tunduk terhadap desakan Trump.

Pada 6 petang, ringgit menokok ke paras 4.2300/2355 berbanding dolar AS daripada 4.2335/2405 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata laporan media mengenai hasrat Trump menamakan pengerusi baharu Fed lebih awal itu menyebabkan Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.60 peratus kepada 97.093 mata.

“Perkembangan itu akan terus diikuti untuk melihat bagaimana ini dapat direalisasikan memandangkan penggal pengerusi sekarang akan hanya tamat pada Mei 2026.

“Apa yang lebih ketara adalah memberi tekanan kepada Fed untuk menurunkan kadar faedah secepat mungkin,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia serta negara-negara ASEAN.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.9359/9399 daripada 2.9070/9120, rendah berbanding pound Britain kepada 5.8141/8217 daripada 5.7631/7726 serta susut berbanding euro kepada 4.9597/9661 daripada 4.9113/9194, semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3192/3240 daripada 3.3061/3121 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0254/0488 daripada 12.9584/9858 pada akhir urus niaga semalam.

Unit tempatan itu rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 260.9/261.4 daripada 259.7/260.2 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.47/7.49 daripada 7.46/7.48 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan