Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka dalam jajaran kecil minggu depan dipengaruhi oleh perkembangan semasa di Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata kenaikan dalam ekuiti AS mengehadkan momentum menaiknya manakala jangkaan penurunan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS diunjurkan memberi kesan negatif.
Bagaimanapun, beliau berkata faktor peralihan sebenar terletak pada dolar US kerana ia kekal lemah, mungkin mencerminkan kurang pendedahan global kepada kenaikan semula ekuiti AS walaupun Wall Street mencatakan kenaikan.
“Jika aliran masuk asing mula memasuki syarikat teknologi terkemuka AS dan dolar US berkedudukan seiring dengan pasaran ekuiti, emas boleh menghadapi tekanan penurunan.
"Walaupun unjuran emas jangka pendek kelihatan dalam jajaran kecil, landskapnya tidak berubah dan berkemungkinan berlaku kenaikan jika kedudukan makro berubah dengan ketara," katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, beliau berkata niaga hadapan emas akan didagangkan dalam jajaran kecil antara US$3,260 dan US$3,340 setiap troy auns minggu depan.
Pasaran ditutup pada 27Jun, 2025, sempena cuti Awal Muharram.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Jun 2025 susut kepada US$3,340.80 setiap auns troy pada Khamis daripada US$3,3,60 setiap auns troy Jumaat lepas, manakala kontrak Julai 2025 turun kepada US$3,355.10 setiap auns troy daripada US$3,366.50 setiap auns troy sebelum itu.
Kontral Ogos 2025, September 2025 dan Oktober 2025 masing-masing merosot kepada US$3,370.80 setiap auns troy daripada US$3,388.60 setiap auns troy Jumaat lepas.
Jumlah dagangan susut kepada 173 lot daripada 321 lot dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 36 kontrak daripada 31 kontrak sebelumnya.
Menurut penetapan London Bullion Market Association pada 26 Jun, 2025, harga emas fizikal berada pada US$3,318.70 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial