Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, menjejaki harga minyak olein sawit yang menurun di Bursa Komoditi Dalian, China.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata, memandangkan China adalah pembeli utama minyak sawit, harga yang lebih rendah di negara itu menunjukkan permintaan perlahan atau sentimen yang lembap di pasaran China.
“Apabila harga minyak sawit menurun di China, peniaga beranggapan permintaan di negara itu semakin merosot, oleh itu mereka melakukan jualan besar-besaran atau mengelakkan pembelian dari Malaysia, yang menyebabkan harga di Malaysia turut menurun,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Ng berkata trend penurunan itu telah dihadkan oleh jangkaan pengeluaran yang lebih perlahan daripada dijangka serta prestasi eksport yang kukuh menjelang laporan utama tanaman yang akan dikeluarkan minggu depan.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,000 satu tan dan rintangan pada RM4,150,” katanya.
Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata kontrak niaga hadapan kekal rendah pada sepanjang hari dagangan dalam julat antara RM3 hingga RM30 lebih rendah berikutan peserta pasaran menjual sebahagian daripada pegangan sebelum cuti akhir minggu dan pengumuman laporan data industri pada minggu depan.
“Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengeluarkan data bekalan dan permintaan bagi Jun pada 10 Julai, dengan tumpuan pasaran terarah kepada tahap penurunan pengeluaran dan kesannya terhadap paras stok akhir bulan,” katanya.
Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Julai susut sebanyak RM37 kepada RM3,995 satu tan manakala Ogos 2025 berkurangan RM31 kepada RM4,053 satu tan dan September 2025 merosot RM29 kepada RM4,062 satu tan.
Kontrak Oktober 2025 pula rendah RM28 kepada RM4,064 satu tan, November 2025 susut RM25 kepada RM4,065 satu tan dan Disember 2025 berkurangan RM23 kepada RM4,072 satu tan.
Jumlah dagangan menurun kepada 45,823 lot berbanding 58,749 pada Khamis manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 226,243 kontrak daripada 225,914 sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Julai Selatan rendah RM30 kepada RM4,050 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial