KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan lebih tinggi, menjejaki sentimen pasaran serantau yang positif ketika pelabur memantau pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) dan rundingan lanjut Malaysia bagi mendapatkan terma perdagangan yang lebih adil.
Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.34 mata kepada 1,540.86 daripada 1,536.52, semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka meningkat 1.36 mata kepada 1,537.88.
Sentimen pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 467 berbanding 386 manakala 453 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,112 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.29 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.
Naib Presiden Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau kembali pulih ketika pelabur menunggu sokongan dasar tambahan Beijing selepas angka deflasi China yang terus ketara.
“Kami menjangkakan bursa tempatan akan terus mampan hari ini manakala indeks menyaksikan aliran (pergerakan) dalam julat 1,530-1,545,” katanya dalam nota penyelidikan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia masih mempunyai tempoh sebulan untuk berunding dengan (AS) berhubung tarif timbal balik baharu yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump.
Perkara itu disampaikan oleh Setiausaha Negara AS Marco Rubio yang melakukan kunjungan hormat ke atas Anwar di Parlimen.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank tidak berubah pada RM9.73, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.33, Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing menokok enam sen kepada RM14.02 dan RM6.76 manakala IHH Healthcare turun dua sen kepada RM6.63.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI menambah dua sen kepada RM1, NexG dan Tanco meraih setengah sen kepada masing-masing 45 sen dan 90.5 sen manakala Dagang Nexchange menokok 2.5 sen kepada 32.5 sen dan Sapura Energy tidak berubah pada empat sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 40.55 mata kepada 11,568.88, Indeks FBMT 100 naik 40.76 mata kepada 11,333.89 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 47.35 mata kepada 11,556.09.
Indeks FBM 70 melonjak 98.87 mata kepada 16,754.47 manakala Indeks FBM ACE naik 16.59 mata kepada 4,533.16.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 74.13 mata kepada 17,696.51, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.45 mata kepada 153.99, Indeks Tenaga meraih 0.84 mata kepada 737.46 manakala Indeks Perladangan turun 6.77 mata kepada 7,454.49.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial