KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi semasa tengah hari pada Selasa, disokong oleh laporan mengenai lanjutan tempoh gencatan tarif selama 90 hari oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas China sehingga 10 November, sekali gus menambah baik sentimen pasaran.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.96 mata atau 0.19 peratus kepada 1,566.20 daripada 1,563.24 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.41 mata lebih rendah kepada 1,561.83 dan bergerak antara 1,561.83 hingga 1,572.97 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagaimanapun, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 454 berbanding 404, manakala 441 kaunter tidak berubah, 1,222 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.58 bilion unit bernilai RM1.06 bilion.
Menurut Malacca Securities kalangan pelabur sedang menunggu data inflasi AS di samping memantau pertemuan antara Presiden AS Donald Trump dengan Presiden Vladimir Putin di Ukraine.
“Berasaskan kemajuan kecil dalam usaha meredakan ketegangan perdagangan, Wall Street memulakan minggu ini dengan prestasi rendah. Susulan sedikit penurunan di Wall Street, kami menjangkakan aktiviti pengambilan untung muncul dalam pasaran tempatan,” menurutnya dalam nota penyelidikan.
Mengenai laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang dijadualkan dikeluarkan malam ini, unjuran konsensus menunjukkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dijangka meningkat kepada 2.8 peratus dan 3.0 peratus bagi Julai, berbanding 2.7 peratus dan 2.9 peratus pada Jun.
Data inflasi AS yang akan dikeluarkan itu akan menentukan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah.
Malacca Securities juga yakin sektor teknologi mungkin kekal menjadi tumpuan susulan pelaburan besar Apple Inc bernilai US$100 bilion di AS, yang berkemungkinan memberi rangsangan kepada Inari Amertron Bhd dan Frontken Corp Bhd.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank menambah 6.0 sen kepada RM9.71, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.41, dan CIMB meningkat 2.0 sen kepada RM6.96, manakala Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM13.56 dan IHH Healthcare kurang 8.0 sen kepada RM6.88.
Bagi kaunter aktif, Classita naik 1.0 sen kepada 10 sen, NexG meningkat 2.0 sen kepada 39.5 sen, manakala Zetrix AI dan Tanco masing-masing susut setengah sen kepada 89 sen dan 74 sen. TWL pula menokok setengah sen kepada 3.0 sen.
Bagi pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas naik 19.45 mata kepada 11,666.58, Indeks FBMT 100 menokok 17.55 mata kepada 11,447.27, Indeks FBM Emas Syariah menambah 7.51 mata kepada 11,655.18, Indeks FBM ACE turun 13.79 mata kepada 4,606.43, dan Indeks FBM Mid 70 meningkat 7.55 mata kepada 16,603.19.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 76.0 mata kepada 17,803.83, Indeks Perladangan menambah 63.68 mata kepada 7,527.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.05 mata kepada 159.83 dan Indeks Tenaga menokok 1.65 mata kepada 737.01.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial