Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka berlegar-legar dalam jajaran yang terhad dengan kecenderungan menurun, dipacu oleh ketidaktentuan pasaran yang berterusan serta pelbagai ketidakpastian global.
Pakar industri Denis Low berkata, ketidakpastian merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) mula berkuat kuasa pada Januari 2026.
Namun begitu, katanya, masih banyak kekaburan yang menyelubungi pelaksanaan peraturan baharu ini.
“Kebanyakan pekebun getah di kawasan pengeluar utama merupakan pekebun turun-temurun yang mengusahakan tanah warisan sekali gus menjadikan mereka sukar untuk mematuhi keperluan pematuhan EUDR.
“Lebih-lebih lagi, pensijilan di bawah EUDR boleh menjadi mahal dan tidak jelas. Perlu diingat iaitu ladang getah berskala besar kini tidak lagi lazim,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Low menjangkakan sehingga tarikh akhir EUDR akan menjana sedikit ketidaktentuan dan turun naik pasaran, baik di peringkat tempatan mahupun di pasaran Kesatuan Eropah (EU).
Beliau menambah, pemproses lateks mungkin memindahkan kos pensijilan kepada pembeli, namun sentimen pasaran yang lemah di EU mungkin tidak menyokong kenaikan harga.
“Untuk minggu ini, kami menjangkakan pasaran getah akan diniagakan dalam jajaran yang kecil dengan kecenderungan menurun,” tambahnya.
Sementara itu, Low berkata Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan monsun barat daya yang melanda Laut Andaman dan Teluk Thailand akan bertambah kuat sekali gus membawa hujan serta ribut petir yang terpencil.
Malaysia juga dijangka mengalami ribut petir atau hujan terpencil di beberapa kawasan.
Dalam nada yang lebih meyakinkan, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata, pasaran getah mungkin mendapat sokongan daripada pertumbuhan ekonomi China dan kemungkinan gangguan bekalan akibat keadaan cuaca terutamanya di Thailand.
Persatuan itu turut memberitahu, kenaikan harga minyak mentah di tengah-tengah rundingan gencatan senjata yang tergendala di antara Rusia dengan Ukraine, boleh memberi kesan lanjut kepada pasaran.
Bagi minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) merosot sebanyak 10 sen kepada 726.5 sen setiap kilogram manakala harga lateks pukal turun sebanyak 4.5 sen kepada 567.5 sen setiap kilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial