PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Rendah

12/09/2025 06:06 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini selepas diseret oleh sentimen yang lebih lemah dalam niaga hadapan depan getah serantau di tengah-tengah ketegangan geopolitik serta ketidakpastian yang berterusan terhadap keputusan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Sentimen pasaran terus ditekan dengan kejatuhan harga minyak mentah.

"Bagaimanapun, kerugian selanjutnya telah dihadkan oleh prestasi ekonomi China dan AS yang agak menggalakkan," kata peniaga itu kepada Bernama. 

Beliau juga menjelaskan bahawa niaga hadapan getah Jepun susut pada hari Jumaat memandangkan kos bahan mentah yang tinggi dan penurunan harga getah yang diproses telah menyempirkan margin pengeluar.

Sementara itu, harga minyak menurun hari ini, menyambung penurunan dari sesi sebelumnya berikutan kebimbangan mengenai potensi permintaan AS yang lebih lembap selain lambakan bekalan telah mengimbangi kebimbangan mengenai gangguan bekalan dari konflik di Timur Tengah dan Ukraine.

Setakat 3 petang tadi, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga getah SMR 20 susut sebanyak satu sen kepada 737.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal berkurangan sebanyak 0.5 sen kepada 575.5 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada 15 hingga 16 Sept, 2025 (Isnin dan Selasa) bersempena dengan cuti umum Hari Malaysia, ia akan dibuka semula pada 17 Sept 2025.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan