Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Ringgit mencatat prestasi lebih rendah pada akhir urus niaga hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan mata wang utama ketika pelabur dan peniaga kekal berhati-hati menjelang unjuran kadar faedah negara maju itu bagi 2026.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.0580/0625 berbanding dolar AS daripada 4.0470/0535 pada akhir urus niaga Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata aktiviti pasaran berkemungkinan besar lebih suram di hari-hari terakhir 2025 berikutan kekurangan pemangkin baharu susulan minggu dagangan yang singkat.
“Selain itu, langkah konsolidasi fiskal yang sedang dilaksanakan dan dijangka berterusan sehingga kepada 2026, berpotensi mempengaruhi penilaian oleh pihak agensi penarafan kredit,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata paras RM4.00 berbanding dolar AS kekal menjadi paras psikologi dan rintangan bagi ringgit pada 2026.
“Pada masa ini, penggiat pasaran kekal berhati-hati terhadap hala tuju ringgit dalam masa terdekat ini,” katanya.
Selain itu, pada akhir urus niaga hari ini, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5956/5987 daripada 2.5866/5909 pada akhir urus niaga Jumaat lepas, susut nilai berbanding pound Britain pada 5.4742/4803 daripada 5.4570/4657 dan turun berbanding euro lepada 4.7787/7840 daripada 4.7629/7706, sebelum ini.
Prestasi ringgit juga kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara anggota ASEAN lain.
Unit tempatan itu susut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1572/1610 daripada 3.1497/1550, rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 241.7/242.1 daripada 241.6/242.2 dan turun berbanding peso Filipina kepada 6.90/6.91 daripada 6.89/6.90.
Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8985/9190 daripada 13.0212/0484 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial