PASARAN > BERITA

Dagangan Niaga Hadapan KLCI Dijangka Dalam Julat Kecil Minggu Depan

14/02/2026 10:29 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan dalam julat kecil pada minggu depan.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata unjuran prestasi pasaran Bursa Malaysia dalam julat kecil dan sederhana itu juga susulan tempoh dagangan singkat serta mudah tunai peringkat serantau yang lebih kecil berikutan cuti sempena Tahun Baharu Cina.

“Indeks dijangka mengalami konsolidasi dalam julat 1,735–1,745 berikutan keadaan mudah tunai yang rendah lazimnya menjejaskan momentum aliran peningkatan serta penurunan yang ketara,” katanya kepada Bernama.

Bagi tempoh dagangan yang baru berakhir, niaga hadapan FBM KLCI didagangkan secara bercampur-campur dan menjejaki asas pasaran tunai.

Sebagai perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak Februari dan September 2026 masing-masing menokok 7.5 mata kepada 1,740.0 dan 1,712.0, Mac 2026 melonjak 9.5 mata kepada 1,720.5.0 manakala Jun 2026 naik 9.0 mata kepada 1,724.0. 

Jumlah dagangan bagi minggu ini meningkat kepada 39,076 lot daripada 29,058 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 43,523 kontrak daripada 42,726 kontrak, sebelum ini.

FBM KLCI naik 6.71 mata kepada 1,739.54 pada Jumaat berbanding 1,732.83 yang dicatatkan, seminggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan