PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Rendah, Lonjakan Harga Minyak Sokong Dolar AS

09/03/2026 10:15 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan langkah mengelak risiko yang meningkat mengukuhkan mata wang itu selepas harga minyak mentah Brent melonjak 15.5 peratus kepada US$107.04 setong, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 3.9550/9800 berbanding dolar AS daripada 3.9425/9535 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berbanding Isnin minggu lepas, harga minyak mentah Brent telah meningkat dengan mendadak sebanyak 37.7 peratus daripada US$77.74 setong selepas Iran menamakan Mojtaba Khamenei sebagai pemimpin tertinggi baharunya. 

“Berdasarkan langkah mengelak risiko, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.52 peratus kepada 99.496 mata. 

“Sehubungan itu, mata wang pasaran sedang pesat membangun dan ringgit dijangka kekal rendah dalam tempoh terdekat berikutan sentimen pasaran yang lemah,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata risiko konflik serantau di negara-negara Teluk meningkat selepas loji penyahgaraman air Bahrain mengalami kerosakan akibat serangan dron Iran.

Sementara itu, AS dan Israel dijangka meningkatkan serangan ketenteraan terhadap Iran.

“Data ekonomi mungkin kurang diberi perhatian berikutan perkembangan yang sedang berlaku di Timur Tengah yang dijangka memberi impak ketara terhadap inflasi dan pertumbuhan global.

“Berdasarkan carta teknikal, paras halangan dan sokongan semasa, masing-masing pada RM4.0285 dan RM3.8800,” katanya.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali pound yang merosot kepada 5.2621/2954 daripada 5.2530/2676 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.5577/5866 daripada 4.5634/5762 dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.4967/5126 daripada 2.4973/5044 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN, bagaimanapun meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3312/4169 daripada 12.3392/3810 pada Jumaat lepas.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0788/0987 daripada 3.0779/0867, menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 233.6/235.2 daripada 232.9/233.6 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.70/6.75 daripada 6.68/6.70.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan