PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Disokong Harga Fizikal, Sentimen Positif Pasaran

27/03/2026 06:55 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Jumaat, meneruskan kenaikan susulan niaga hadapan getah Jepun yang meningkat dan harga fizikal komoditi yang kukuh di Thailand.

Dalam pada itu, data ekonomi China yang positif turut memperkukuh sentimen pasaran, kata seorang peniaga.

"Keuntungan industri China meningkat 15.2 peratus pada Januari-Februari 2026 berbanding 0.6 peratus pada 2025 sekali gus menunjukkan pemulihan tetapi masih berdepan dengan tekanan kos dan risiko eksport," katanya.

Beliau menambah peningkatan dalam hubungan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China juga menyumbang kepada aliran tersebut.

China memberi isyarat langkah positif untuk perdagangan AS-China dengan Menteri Perdagangannya Wang Wentao menekankan kerjasama ekonomi dan perdagangan yang lebih kukuh untuk memajukan hubungan dua hala, kata peniaga itu.

Bagaimanapun, katanya kenaikan terhad oleh harga minyak mentah yang bercampur-campur.

"Harga minyak bercampur-campur pada Jumaat selepas Presiden AS, Donald Trump melanjutkan penangguhan serangan terhadap loji tenaga Iran selama 10 hari sementara ketidaktentuan mengenai konflik itu berterusan," tambahnya.

Pada waktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat 1.82 peratus kepada US$110 setiap tong.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 3.50 sen kepada 803 sen sekilogram manakala lateks pukal naik lima sen kepada 689.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan