PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari

06/04/2026 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini berikutan ketidaktentuan berterusan pada peringkat global dijangka dapat dilihat dalam masa terdekat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberikan tempoh 48 jam kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 5.97 mata kepada 1,689.53 daripada 1,695.50 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka rendah 1.18 mata kepada 1,694.32, bergerak antara 1,688.62 dan 1,697.88 pada sesi dagangan pagi.

Pasaran secara keseluruhan negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 585 berbanding 272 manakala 498 kaunter tidak berubah, 1,292 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.73 bilion unit bernilai RM1.22 bilion.   

Menurut Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, ketegangan geopolitik yang meningkat telah mendorong harga minyak melebihi US$110 setong dalam kebimbangan mengenai gangguan bekalan berikutan Selat Hormuz menyumbang sebahagian besar daripada penghantaran minyak global.

Katanya kenaikan mendadak harga minyak mentah dijangka meningkatkan tekanan inflasi dan mengurangkan kesediaan mengambil risiko, berpotensi menjejaskan pasaran ekuiti secara keseluruhannya serta menyokong saham berkaitan tenaga dan komoditi.

“Dalam persekitaran ini, pasaran Malaysia dijangka kekal berhati-hati, dengan saham berkaitan tenaga disokong oleh harga minyak yang lebih kukuh manakala sektor berorientasikan eksport dan pembuatan dijangka berdepan tekanan margin akibat peningkatan kos input dan logistik dalam ketidaktentuan geopolitik yang meningkat,” katanya.

Katanya pihaknya memilih sektor tenaga dalam ketegangan yang meningkat di Asia Barat, dengan pemain minyak dan gas huluan mendapat manfaat daripada harga minyak mentah yang tinggi, menyokong momentum pendapatan dalam masa terdekat.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing meningkat dua sen kepada RM11.28 dan RM14.06, SD Guthrie mendatar pada RM6.20 manakala Public Bank merosot satu sen kepada RM4.65 dan CIMB berkurangan lima sen kepada RM7.44. 

Dalam senarai paling aktif, VS Industry meningkat dua sen kepada 20 sen, Velesto menambah satu sen kepada 36 sen, Ambest naik 5.5 sen kepada 40.5 sen, Zetrix mendatar pada 76 sen dan Top Glove menurun 4.5 sen kepada 76.5 sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Fraser & Neave meningkat 68 sen kepada RM29.18 dan DKSH naik 16 sen kepada RM5.76 manakala Ayer Holdings, Sarawak Plantation dan Batu Kawan, masing-masing melonjak 14 sen kepada RM7.15, RM3.74 dan RM21.76.

Bagi kaunter paling rugi, Kuala Lumpur Kepong merosot 50 sen kepada RM22.38, Petronas Dagangan berkurangan 42 sen kepada RM20.80, Hong Leong Bank menurun 34 sen kepada RM21.38 dan IHH Healthcare menyusut 24 sen kepada RM8.72.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 merosot 50.92 mata kepada 12,200.20, Indeks FBM Emas berkurangan 50.10 mata kepada 12,342.06, Indeks FBM Emas Shariah menurun 65.63 mata kepada 12,203.93, Indeks FBM ACE menyusut 41.95 mata kepada 4,267.97 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 105.13 mata kepada 17,035.80. 

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 76.03 mata kepada 19,773.69, Indeks Perladangan menurun 31.42 mata kepada 9,124.09, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.32 mata kepada 184.43 dan Indeks Tenaga menyusut 1.70 mata kepada 816.82. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan