PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Berhati-hati Minggu Depan

09/05/2026 11:12 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka diniagakan dalam keadaan berhati-hati, didorong oleh bekalan yang terhad berikutan musim El Niño dan rundingan damai di Asia Barat.

Pakar industri Denis Low berkata musim daun pokok getah luruh telah berakhir dan keadaan cuaca pada masa kini dilihat memihak kepada pemulihan dalam pengeluaran getah.

Situasi ini dijangka mengurangkan kekangan bekalan sebelum ini dan membantu menstabilkan harga memandangkan pengeluaran semakin bertambah baik.

“Kita dapat melihat beberapa kecenderungan spekulatif oleh pengeluar, pemproses dan promoter dalam mengekalkan harga, namun mereka perlu berhati-hati kerana sudah ada tanda-tanda daripada pembeli dan pengguna yang menolak harga itu. Perlu ada penyelesaian yang saksama demi kestabilan berbanding situasi turun naik yang tidak menentu seperti yo-yo.

“Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, kami menjangkakan tinjauan yang stabil tetapi berhati-hati untuk pasaran getah, dengan harga dan permintaan berkemungkinan kekal mantap, walaupun dengan kecenderungan yang sedikit rendah,” katanya kepada Bernama.

Low juga berkata Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan beberapa kejadian ribut petir dan hujan lebat di sesetengah kawasan, dengan kemungkinan ribut luar biasa.

Pada masa yang sama, beliau menambah ahli kaji cuaca turut meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa buah negeri di Malaysia.

Sementara itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjangkakan pasaran getah kekal tidak menentu pada minggu hadapan memandangkan bekalan getah asli akan terjejas ekoran musim El Niño yang berterusan, yang dikatakan antara yang terburuk dalam tempoh sedekad.

Ia menyatakan kerosakan tanaman dan banjir kilat dijangka berterusan pada minggu hadapan, berdasarkan ramalan cuaca di negara-negara pengeluar getah.

“Walaupun rundingan damai di Asia Barat mungkin meningkatkan sentimen pasaran, gangguan terhadap perdagangan global dan inflasi masih menjadi kebimbangan,” katanya.

Berdasarkan perbandingan Khamis ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 23.5 sen kepada 882.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal melonjak lima sen kepada 756 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan