PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Rendah Bagi Tiga Hari Berturut-turut

14/05/2026 10:01 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah bagi tiga hari berturut-turut pada Khamis, menjejaki penurunan dalam harga minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata seorang peniaga.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata penurunan harga minyak kacang soya telah menjejaskan MSM, memandangkan kedua-dua minyak sawit dan minyak kacang soya merupakan minyak sayuran utama yang bersaing dalam pasaran minyak makan global. 

“Jangkaan peningkatan paras stok berdasarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terkini berkemungkinan akan mempengaruhi sentimen harga,” katanya kepada Bernama. 

Menurut MPOB, stok minyak sawit Malaysia meningkat 1.71 peratus kepada 2.30 juta tan pada April 2026 daripada 2.27 juta tan pada Mac, manakala pengeluaran MSM melonjak 18.37 peratus kepada 1.63 juta tan daripada 1.38 juta tan sebulan sebelumnya. 

“Kami melihat harga sokongan melebihi RM4,350 dan rintangan pada RM4,500,” tambahnya. 

Pada penutup, kontrak Mei 2026 susut RM40 kepada RM4,350 setan, Jun 2026 berkurang RM47 kepada RM4,362 dan Julai 2026 merosot RM45 kepada RM4,393 setan.

Kontrak Ogos 2026 turun RM48 kepada RM4,409 setan, September 2026 susut RM44 kepada RM4,428, dan Oktober 2026 berkurang RM41 kepada RM4,448 setan.

Jumlah dagangan merosot kepada 93,138 lot daripada 113,037 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 285,504 kontrak daripada 283,827 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan susut RM30 kepada RM4,420 setan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan