KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengukuh sedikit pada tengah hari berikutan pembelian berterusan dalam kaunter berwajaran tinggi, didahului sektor produk dan perkhidmatan pengguna, perkhidmatan kewangan serta utiliti.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.90 mata atau 0.05 peratus kepada 1,728.61, berbanding paras 1,727.71 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 5.17 mata lebih tinggi kepada 1,732.88, bergerak antara 1,726.36 dan 1,734.32 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagaimanapun, sentimen pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 581 berbanding 434, manakala 533 kaunter tidak berubah, 1,156 tidak didagangkan dan 12 digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.83 bilion unit bernilai RM1.40 bilion.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank berkata FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu dan dipacu sentimen, sejajar dengan pergerakan tidak menentu Wall Street, tertekan oleh gencatan senjata Amerika Syarikat–Iran yang mudah goyah serta ketegangan berterusan di Selat Hormuz yang terus menyokong harga minyak lebih tinggi.
Sentimen pasaran akan terus dipengaruhi perubahan pantas antara keadaan yang telah reda dan kembali tegang dengan tiada penyelesaian yang jelas dicapai dalam masa terdekat.
Isyarat negatif dari luar negara, ditambah dengan kemuncak musim laporan pendapatan syarikat suku pertama 2026 serta peningkatan ketidaktentuan politik domestik, menyebabkan pelabur menjadi lebih berhati-hati dan cenderung mengelak risiko, katanya.
Sehubungan itu, bank pelaburan berkenaan berkata tekanan penurunan dijangka disokong sekitar paras 1,700 mata.
“Kami kekal berhati-hati positif terhadap Malaysia, disokong statusnya sebagai pengeksport bersih minyak, hubungan perdagangan yang berdaya tahan, pendedahan kepada kitaran naik teknologi global serta dasar fiskal yang menyokong,” katanya.
Antara kaunter berwajaran tinggi, 99 Speed Mart Retail naik 15 sen kepada RM3.43, CIMB meningkat lima sen kepada RM7.85, dan YTL Power International menambah enam sen kepada RM4.11, manakala Hong Leong Bank susut 28 sen kepada RM21.70 dan Public Bank turun tiga sen kepada RM4.80.
Bagi kaunter paling aktif, Oppstar meningkat 11 sen kepada RM1.04, TT Vision melonjak 5.5 sen kepada 39.5 sen, Zetrix AI menambah setengah sen kepada 84.5 sen, SMRT naik tiga sen kepada 24.5 sen, dan Genetec Technology menokok satu sen kepada 35.5 sen.
Antara kaunter untung tertinggi, Sunway Construction melonjak 23 sen kepada RM7.33, Westports meningkat 22 sen kepada RM6.20, Ranhill Utilities naik 11 sen kepada RM2.20, Gamuda menambah lapan sen kepada RM4.47 dan Kelington meningkat lapan sen kepada RM6.99.
Dalam kalangan kaunter rugi utama, UMS Integration susut 36 sen kepada RM8.04, Hong Leong Industries turun 34 sen kepada RM18.14, Kuala Lumpur Kepong merosot 32 sen kepada RM19.88, Petronas Dagangan turun 30 sen kepada RM19.24, dan Malaysian Pacific Industries berkurang 26 sen kepada RM42.94.
Pada papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 5.56 mata kepada 12,810.33, Indeks FBM Top 100 mengukuh 2.05 mata kepada 12,644.79 dan Indeks FBM ACE naik 8.24 mata kepada 4,728.29.
Sementara itu, Indeks FBM Emas Shariah susut 2.80 mata kepada 12,746.27, manakala Indeks FBM Mid 70 turun 16.43 mata kepada 18,361.08.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 38.41 mata kepada 20,079.99, Indeks Tenaga susut 4.66 mata kepada 802.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun sedikit 0.03 mata kepada 199.63, dan Indeks Perladangan berkurang 28.46 mata kepada 8,579.46.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial