KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus mendapat sokongan dan diniagakan tinggi pada minggu depan, kata penganalisis.
Ini berikutan pelabur sedang meneliti keadaan yang mampu meredakan ketegangan geopolitik di Asia Barat selain menunggu pengumuman data ekonomi penting Amerika Syarikat (AS) yang akan mempengaruhi unjuran berkaitan kadar faedah ditetapkan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas dijangka kekal kukuh, disokong jangkaan tempoh gencatan senjata selama 60 hari membabitkan AS dan Iran dapat bertahan dan bergerak ke arah pemeteraian perjanjian yang lebih meluas.
Bagaimanapun, beliau berkata pemangkin seterusnya bagi harga emas berkemungkinan dipengaruhi oleh laporan Indeks Harga Pengguna dan Penggaajian Bukan Perladangan (NFP) AS.
“Data inflasi dan penggajian yang rendah akan mengukuhkan lagi jangkaan bahawa pihak Fed akan mula menurunkan kadar faedah utama dalam bulan-bulan akan datang -- senario yang lazimnya hanya memberi sokongan kepada emas,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas perbandingan mingguan, kontrak bulan semasa Mei 2026 susut kepada US$4,525.80 setiap auns troy daripada US$4,531.60 setiap auns troy pada Jumaat lepas manakala Jun 2026 meningkat kepada US$4,553.30 setiap auns troy daripada US$4,548.60 setiap auns troy.
Kontrak Julai, Ogos, dan Oktober 2026 pula masing-masing ditutup meningkat pada US$4,567.00 setiap auns troy berbanding US$4,562.80 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 66 lot daripada 120 lot manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 98 kontrak daripada 89 kontrak minggu sebelumnya.
Berdasarkan penetapan petang pada 28 Mei, 2026, emas fizikal ditetapkan pada US$4,419.45 bagi setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial