Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Keberangkatan Raja Permaisuri Agong Lembaran Baharu Hubungan Akrab Malaysia-Turkiye

31/05/2026 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Keberangkatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Turkiye baru-baru ini menjadi lembaran terbaru dalam hubungan dua hala yang akrab dengan Malaysia.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hubungan erat Malaysia-Turkiye telah menyaksikan kerjasama yang baik dalam bidang pertahanan, perdagangan dan diplomasi Islam antarabangsa.

"Perhubungan Negeri Johor dan Turkiye pula mempunyai sejarah uniknya tersendiri.

Ad Banner
Ad Banner

"Kesultanan Johor Moden yang diasaskan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar sekitar pertengahan abad ke-19 banyak mengambil pengaruh sistem pentadbiran luar negara hasil perhubungan diplomasi antarabangsa yang menjadi satu daripada kemahiran luar biasa Baginda," menurut hantaran itu.

Hantaran itu turut menyebut umum mengetahui akan pengaruh British yang diterapkan ke dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran Negeri Johor hasil persahabatan akrab Sultan Abu Bakar dengan Ratu Victoria.

Namun, terdapat pengaruh besar lain yang sebenarnya turut menjadi inspirasi kepada anjakan modenisasi pentadbiran Negeri Johor pada zaman itu.

Sebagai sebuah kerajaan Islam, Kesultanan Johor juga menjalin hubungan rapat dengan Empayar Uthmaniyah di Istanbul, yang sedang melalui era “Tanzimat” (pemodenan) pada zaman itu.

Sultan Abu Bakar pernah berangkat ke Istanbul sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1879 dan 1893, yang menyaksikan Baginda telah disambut dengan pengiktirafan serta penuh penghormatan.

Menurut hantaran itu, Johor menjadikan Istanbul sebagai contoh untuk memahami perkembangan arus modenisasi ketika berdepan tekanan penjajahan Barat namun terus mengekalkan autonomi budaya dan identiti Melayu Islam.

Cara pemerintahan dan pentadbiran Empayar Uthmaniyah memberi sumbangan besar kepada pembentukan sistem kerajaan serta perundangan Kesultanan Johor Moden menerusi Majalah Ahkam Johor.

Malah, ia turut mempengaruhi penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, perlembagaan bertulis pertama yang digubal di Tanah Melayu.

Bendera Johor yang digunakan sehingga hari ini dan direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1871 juga mencerminkan pengaruh serta persahabatan akrab dengan Empayar Uthmaniyah selain menjadi simbol strategik kedaulatan negeri berkenaan pada zaman itu kepada penjajah Barat.

"Hubungan ini tumbuh lebih mendalam daripada sekadar hubungan diplomatik apabila turut berkembang melalui pertalian keluarga serta perkongsian warisan budaya yang terus dapat dilihat hingga ke hari ini," menurut hantaran itu.

Hantaran itu memaklumkan bahawa kenyataan berkenaan diadaptasikan daripada hasil penulisan Pengarah Sekolah Siswazah serta Profesor Jabatan Sejarah Fakulti Kesenian, Universiti Istanbul Medeniyet iaitu Profesor Dr Ismail Hakki Kadi dan Dr Yakoob Ahmed yang juga Penyelidik Bebas serta mantan Profesor Madya Institut Pengajian Islam Universiti Istanbul.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan