PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Dijangka Mendatar Dengan Kecenderungan Menurun Minggu Hadapan

20/06/2026 10:24 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan secara mendatar dengan kecenderungan menurun pada minggu depan selepas ketegangan geopolitik mula mereda dan keadaan bekalan yang bercampur-campur membentuk sentimen, kata pakar industri Denis Low.

Beliau memberitahu Bernama bahawa pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada 17 Jun lepas bagi menamatkan konflik di rantau Teluk dilihat dapat menambah baik sentimen risiko global dan memulihkan kestabilan dalam laluan perkapalan.

“Dengan berakhirnya konflik tersebut, terdapat aliran penghantaran yang bebas dan perdagangan telah disambung semula dengan berhati-hati buat masa ini.

“Aliran minyak dijangka kembali normal pada hari-hari mendatang dan dengan penurunan harga, ini bermakna jangkaan harga yang lebih rendah.” kata Low.

Bagaimanapun, beliau berkata sokongan bahagian bekalan berterusan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di wilayah pengeluar utama.

“Hujan lebat yang berlaku secara sporadis telah menjejaskan bekalan. Kami percaya ini hanya situasi sementara dan mungkin akan berakhir. Situasi penawaran dan permintaan sebenarnya sedang seimbang disebabkan permintaan juga agak lembap,” kata Low.

Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata prospek getah pada minggu akan datang kekal bercampur-campur, memandangkan ekonomi China kelihatan stabil manakala ekonomi AS menunjukkan tanda-tanda kelemahan, dengan Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

“Timur Tengah dijangka akan melonjakkan permintaan untuk sarung tangan getah, ini akan memacu permintaan yang sepadan untuk lateks,” kata persatuan itu.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 menokok 17.5 sen kepada 946 sen sekilogram, manakala layeks pukal naik 13.5 sen kepada 794.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan