PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dijangka Diniaga Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan Susulan Ketidaktentuan Geopolitik

20/06/2026 10:11 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan berikutan pelabur terus memantau perkembangan rundingan nuklear antara Amerika Syarikat dan Iran serta menilai sama ada perjanjian damai yang diumumkan baru-baru ini berkekalan.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun risiko geopolitik telah berkurangan, masih terdapat ketidakpastian mengenai pelaksanaan perjanjian itu dan kadar pemulihan operasi di Selat Hormuz.

Dari sudut positif, beliau berkata perjanjian damai sementara yang dimeterai minggu lepas dan sebahagian penghantaran minyak yang mula beroperasi semula melalui Selat Hormuz telah membantu meredakan kebimbangan mengenai inflasi dalam tempoh terdekat, sekali gus menyokong sentimen pasaran secara keseluruhan.

Harga tenaga yang lebih rendah boleh menambah baik prospek sektor berkaitan pengguna, syarikat penerbangan, logistik dan beberapa syarikat pembuatan terpilih menerusi pengurangan kos input dan pengangkutan.

“Di peringkat domestik, pasaran dijangka terus disokong oleh asas ekonomi yang semakin baik. Kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan melebihi paras 1,700 mata minggu depan berikutan pelabur mengambil kira sentimen geopolitik yang semakin positif,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia meneruskan kenaikannya untuk sesi ketujuh berturut-turut, disokong oleh belian kukuh dalam kaunter mewah dan wajaran tinggi terpilih.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama meningkat 28.40 mata kepada 1,712.03 daripada 1,683.63 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 206.43 mata kepada 12,681.05, Indeks FBMT 100 mengukuh 203.68 mata kepada 12,519.62, Indeks FBM Emas Shariah naik 136.36 mata kepada 12,558.66 manakala Indeks FBM Mid 70 menokok 278.44 mata kepada 18,162.58, dan Indeks FBM ACE menambah 123.85 mata kepada 4,792.52.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 121.14 mata kepada 8,873.22, Indeks Tenaga susut 9.10 mata kepada 766.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 560.22 mata kepada 20,204.58 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 6.36 mata kepada 190.57.

Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 16.92 bilion unit bernilai RM14.62 bilion daripada 17.32 bilion unit bernilai RM13.74 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 9.73 bilion unit bernilai RM13.06 bilion daripada 9.48 bilion unit bernilai RM12.06 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 4.18 bilion unit bernilai RM538.65 juta berbanding 5.28 bilion unit bernilai RM815.97 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.99 bilion unit bernilai RM1.01 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM854.07 juta pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan