PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Akhiri Sesi Dagangan Pagi Lebih Rendah

23/06/2026 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah disebabkan aktiviti pengambilan berterusan diterajui oleh saham produk perindustrian, hartanah, penjagaan kesihatan dan telekomunikasi.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.31 peratus atau 5.40 mata kepada 1,695.44 daripada 1,700.84 semasa ditutup pada Isnin. 

Indeks penanda aras dibuka 2.26 mata lebih tinggi kepada 1,703.10 dan bergerak antara 1,692.05 dan 1,703.10 sepanjang sesi pagi.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 685 berbanding 265 manakala 477 kaunter tidak berubah, 1,299 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.71 bilion unit bernilai RM1.27 bilion.

Menurut Maybank Investment Bank Bhd, pasaran sedang memantau perkembangan rundingan antara  Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Switzerland yang mungkin menjadi pemangkin utama untuk sentimen pasaran serantau jangka pendek.

“Kami menjangkakan indeks penanda aras akan diniagakan dalam julat 1,690-1,710 hari ini dengan tahap sokongan pada 1,640,” menurut Maybank Investment Bank dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, menurut Malacca Securities Sdn Bhd, petunjuk teknikal FBM KLCI menunjukkan sentimen pasaran bercampur-campur susulan penurunan indeks penanda aras dengan paras rintangan ditetapkan pada 1,715-1,720 dan paras sokongan dilihat pada 1,680-1,695.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals susut 20 sen kepada RM4.07, IOI Properties berkurangan 10 sen kepada RM4.04, Maxis merosot 7.0 sen kepada RM3.31, Sunway Healthcare menguncup 3.0 sen kepada RM1.81 dan Telekom Malaysia turun 11 sen kepada RM7.41.

Bagi saham paling aktif, HSS Holdings yang baru disenaraikan di Pasaran ACE naik setengah sen kepada 18.5 sen, Zetrix AI dan Dagang Nexchange berkurangan 2.0 sen masing-masing kepada 76.5 sen dan 44.5 sen, SKP tidak berubah pada 27.5 sen dan Top Glove menguncup 2.5 sen kepada 68.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Ajinomoto naik RM3.82 kepada RM19.02, United Plantations meningkat 84 sen kepada RM32.80, KLK menambah 78 sen kepada RM21.70, Batu Kawan melonjak 70 sen kepada RM21.50 dan Petronas Gas menokok 12 sen kepada RM17.46.

Bagi kaunter paling rugi pula, MPI turun RM1.84 kepada RM47.00, UMS Integration susut 56 sen kepada RM8.46, Nestle merosot 30 sen kepada RM95.00, manakala Vitrox dan Sam Engineering berkurangan 29 sen masing-masing kepada RM7.17 dan RM4.90.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 62.68 mata kepada 12,540.11, Indeks FBM Top 100 susut 59.88 mata kepada 12,376.73 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 66.44 mata kepada 12,419.05, Indeks FBM Mid 70 menguncup 173.65 mata kepada 17,863.45 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 45.45 mata kepada 4,747.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 100.36 mata kepada 19,900.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.77 mata kepada 186.02 dan Indeks Tenaga berkurangan 7.35 mata kepada 755.51, manakala Indeks Perladangan menguncup 166.14 mata kepada 9,023.20.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan