PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Disokong Aktiviti Belian Saham Harga Rendah

24/06/2026 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari, disokong oleh aktiviti belian saham semasa harga rendah yang berterusan merentasi kebanyakan sektor, diterajui oleh saham-saham penjagaan kesihatan, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.51 peratus atau 8.72 mata kepada 1,688.64 daripada 1,679.92 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 2.11 mata lebih tinggi kepada 1,682.03 dan bergerak antara 1,680.49 dan 1,690.66 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah sedikit negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 440 berbanding 400, manakala 488 kaunter tidak berubah, 1,412 tidak didagangkan dan 41 digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.45 bilion unit yang bernilai RM981.49 juta.

MBSB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya memaklumkan FBM KLCI dijangka mengekalkan trend peningkatan secara sederhana, disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka terus sihat dan perolehan korporat yang kembali memulih pada 2026.

Bagaimanapun, kemungkinan yang lebih tinggi untuk kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) boleh memberi kesan kepada ringgit, aliran dana dan penilaian ekuiti. Kesannya, trend peningkatan jangka sederhana FBM KLCI mungkin kehilangan momentum.

Bank pelaburan itu menambah tekanan daripada kadar faedah AS yang lebih tinggi boleh mengehadkan indeks petunjuk pasaran itu kepada sasaran akhir 2026 pada sekitar 1,800 mata.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare meningkat 22 sen kepada RM8.78, CelcomDigi melonjak 7.0 sen kepada RM2.72, Maxis meningkat 6.0 sen kepada RM3.30, Hong Leong Bank meraih 26 sen kepada RM21.98 dan Axiata menokok 2.0 sen kepada RM2.00.

Antara saham paling aktif, Zetrix AI menambah setengah sen kepada 76.5 sen, Dagang NeXchange dan Tanco masing-masing tidak berubah pada 42.5 sen dan 13.5 sen, Malton meningkat 6.0 sen kepada 32 sen, manakala AirAsia X susut 2.0 sen kepada RM1.29.

Bagi saham paling untung menyaksikan United Plantations melonjak 68 sen kepada RM33.64, Nestle meningkat 32 sen kepada RM95.32, DKSH melonjak 21 sen kepada RM8.78, dan KLCCP Stapled Group menambah 16 sen kepada RM9.18.

Dalam kalangan saham paling rugi, Dutch Lady susut 50 sen kepada RM32.00, Batu Kawan turun 36 sen kepada RM21.20, F&N jatuh 22 sen kepada RM27.68, XL Holdings merosot 15.5 sen kepada 73 sen dan TMK Chemical turun 11 sen kepada RM2.53.

Di pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 61.35 mata kepada 12,502.02, Indeks FBM Top 100 melonjak 64.05 mata kepada 12,341.29 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 69.76 mata kepada 12,382.24.

Indeks FBM Mid 70 melonjak 94.21 mata kepada 17,872.93 dan Indeks FBM ACE mengukuh 21.62 mata kepada 4,732.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 87.18 mata kepada 19,860.36, Indeks Tenaga melonjak 3.17 mata kepada 750.63, Indeks Parladangan menokok 19.74 mata kepada 8,987.46 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.12 mata kepada 184.30.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan