PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Rendah Seiring Penurunan Niaga Hadapan Serantau

25/06/2026 06:22 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah untuk hari ketiga berturut-turut hari ini, menjejaki penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan jangkaan yang semakin meningkat bahawa bekalan getah akan bertambah.

Beliau berkata sentimen pasaran telah terkesan dengan laporan mengenai penghantaran lebih banyak getah dari Thailand ke China dan unjuran yang tinggi bagi pengeluaran getah asli dunia oleh Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) pada 2026, sekali gus menunjukkan kekangan bekalan semakin reda.

“Thailand menawarkan sebanyak 8,000 tan kargo getah untuk penghantaran bulan terdekat kepada China sekali gus menandakan peningkatan bekalan getah dalam tempoh terdekat.

“ANRPC mengunjurkan pengeluaran getah asli global meningkat 2.4 peratus kepada 15.34 juta tan pada 2026, menguatkan jangkaan prospek bekalan yang lebih stabil,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tekanan tambahan turut berpunca daripada penurunan harga minyak mentah serta jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat (AS) kekal tinggi untuk tempoh lebih lama berikutan tekanan inflasi yang berterusan.

Menurutnya penurunan unjuran harga minyak mentah Brent mencerminkan jangkaan permintaan minyak yang lebih perlahan serta penyusutan harga komoditi.

Setakat ini, harga minyak Brent susut 1.76 peratus kepada US$72.44 setong.

“Dalam pada itu, tekanan inflasi yang berterusan di AS menguatkan jangkaan bahawa kadar faedah kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global dan prospek permintaan komoditi,” katanya.

Bagaimanapun, penyusutan itu sebahagiannya diimbangi oleh perkembangan positif dalam sektor automotif, termasuk usaha pengembangan global oleh satu daripada pengeluar kenderaan terkemuka China serta pemulihan pengeluaran dan eksport kenderaan di United Kingdom.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 menyusut 33 sen kepada 907.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menurun 10 sen kepada 779.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan