POLITIK > BERITA

PRK KKB: CALON PH LANCAR MANIFESTO MINGGU DEPAN

30/04/2024 01:24 AM

HULU SELANGOR, 28 April (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao akan melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) minggu depan.

Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata ketika ini, manifesto berkenaan masih di peringkat perancangan serta penelitian.

“Apabila sudah dilancarkan nanti, seluruh jentera akan bekerja keras bagi memastikan masyarakat di sini tahu dan mempunyai maklumat mengenai apa tawaran yang kita akan berikan kepada mereka.

“Semestinya ini juga satu cabaran kerana penyandang (mendiang Lee Kee Hiong) menjalankan tugas dengan baik dan amat aktif dengan kegiatan masyarakat di sini. Jadi selain tawaran manifesto, saya akan berusaha untuk kekalkan momentum itu termasuk hubungan baik dengan semua ketua kampung dan ahli majlis demi kesejahteraan rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo ke Majlis Penyerahan Borang Penubuhan Cawangan DAP Melayu baharu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu di sini hari ini.

Ditanya mengenai penerimaan pengundi Melayu di kawasan DUN itu kepada beliau yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang berkata sambutan mereka amat baik.

“Setakat ini, saya sudah ke kawasan Melayu di sekitar Batang Kali dan sambutan mereka amat baik malah banyak memberikan ucapan, kata-kata semangat dan galakan sekali gus memberi keyakinan kepada saya untuk mempertahankan kerusi KKB ini,” katanya.

Mengulas mengenai status sebagai calon bukan anak tempatan, Pang berkata ia tidak menjadi isu kerana KKB bukanlah asing kepada beliau kerana pernah mengikuti gerak kerja Lee termasuk menyantuni masyarakat di kawasan itu.

“Sayapun orang Selangor, belajarpun di Selangor, hati sayapun sudah ditawan dengan keindahan Kuala Kubu Baharu ini... cuma cabaran kita ketika ini ialah untuk menarik pengundi luar untuk pulang mengundi,” katanya.

Proses PRK KKB, yang bermula semalam, menyaksikan Pang ditentang tiga pencabar iaitu Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional, Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei dan 7 Mei sebagai pengundian awal.

Terdahulu, Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata penubuhan Cawangan DAP Melayu Jalan Kemboja hari ini dengan keahlian 50 orang Berusia bawah 30 tahun adalah yang ketiga di Hulu Selangor.

Beliau berkata penubuhan cawangan itu adalah satu petanda baik selain menunjukkan minat golongan muda membabitkan diri dalam arena politik di negara ini.

“DAP ialah parti yang terbuka kepada semua dan yang penting, kita mahu memastikan semua lapisan masyarakat mendapat peluang menceburi bidang politik serta bersama-sama menerajui negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan