POLITIK > BERITA

PRK SUNGAI BAKAP: CALON PN DIUMUM 16 JUN INI

08/06/2024 03:12 PM

PAPAR, 8 Jun (Bernama) -- Calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang akan diumumkan pada 16 Jun ini, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata mesyuarat peringkat parti PAS telah diadakan semalam dan menerima senarai beberapa nama yang dicadangkan sebagai calon PRK itu untuk diteliti kepimpinan PAS sebelum diangkat ke Majlis Syura parti tersebut.

“Biasanya dua atau tiga nama akan dicadangkan dan parti akan teliti untuk kelayakan sebelum hantar ke Majlis Syura yang akan mengesahkannya. Kalau semua nama tu layak, parti akan buat keputusan mana yang terbaik (jadi calon).

“Insya-Allah pengistiharan calon (PN) akan dibuat 16 Jun sebelum penamaan calon 22 Jun dan pelancaran jentera kita buat dalam masa terdekat. Pada Selasa ini kita akan ada mesyuarat tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk kita bincang lanjut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan-Dewan PAS Negeri Sabah yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya kerana mengalami keradangan dalam perut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan