POLITIK > BERITA

RAMANAN TERHARU LAYANAN PENGUNDI CINA SUNGAI BAKAP

29/06/2024 05:34 PM

NIBONG TEBAL, 29 Jun (Bernama) -- Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk R. Ramanan menzahirkan rasa terharu dengan layanan baik masyarakat Cina, ketika menyantuni mereka bersama jentera MCA pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ramanan berkata beliau menerima jemputan daripada Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, untuk turut sama turun padang bersamanya dan jentera MCA bagi mendekati pengundi Cina di Sungai Bakap, antaranya Kampung Wellesley, Sungai Jawi dan Kampung Kepala Gajah, Taman Puteri Gunung.

“Sambil sembang santai bersama penduduk di sana, kami turut bincang pelbagai isu. Saya sangat terharu dengan layanan yang diberikan. Inilah kekuatan dan kelebihan yang ada dalam Kerajaan Perpaduan merangkumi pelbagai parti, bagi menjamin harapan rakyat Malaysia.

“Inilah semangat politik yang perlu ada dalam kerajaan perpaduan. Kami berkerjasama antara satu sama lain. Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB (Yang Amat Berhormat) Datuk Seri Anwar Ibrahim, sentiasa mengutamakan agenda pemerkasaan semua kaum di negara ini seiring dengan gagasan Malaysia MADANI," katanya.

Turut bersama-sama beliau menyantuni masyarakat Cina ialah Naib Pengerusi MCA yang juga Pengerusi MCA Negeri Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng dan jentera Perpaduan bagi PRK DUN Sungai Bakap.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, turut mengagumi kaum wanita di Taman Puteri Gunung yang kreatif bergotong-royong mengusahakan produk kraf seperti beg tangan, kertas bunga serta bahan hiasan, yang dijual bagi menjana pendapatan.

“Memang hebat dan cukup kreatif penduduk di sana khususnya dalam kalangan wanita. Mereka melakukanya secara bersama ala gotong-royong dan menjualnya untuk meraih pendapatan. Inilah semangat keusahawanan yang perlu dicontohi dan dipuji,” katanya.

Sebelum mengakhiri lawatan, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Wee kerana memberikan kesempatan kepadanya untuk mendekati pengundi Cina di Sungai Bakap.

“Terima kasih juga kepada jentera MCA di Sungai Bakap. Saya juga telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Wee mengenai beberapa isu berkaitan penduduk di sana, dan saya berjanji akan membawa kepada pengetahuan YAB Perdana Menteri. Terima kasih MCA,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu hingga 11.59 malam, 5 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan