POLITIK > BERITA

PRK SG BAKAP: LAGI 20 PERMIT DILULUSKAN HARI INI

30/06/2024 05:03 PM

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak 20 permit kempen bergerak, ceramah dan tinjauan mesra bagi parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada hari kesembilan kempen hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata secara keseluruhan, sebanyak 81 permit telah diluluskan sejak hari pertama kempen pada 22 Jun lepas dan tiada permit yang ditolak.

"Berbaki enam hari lagi tempoh berkempen sebelum menjelang hari mengundi pada 6 Julai nanti, polis  menasihatkan semua orang agar tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen pilihan raya.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang serta peraturan yang sedang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan